Membawang Hari Ini

Reza & Marsha serasi

LINCAH mereka semakin menjadi-jadi. Gedik mereka juga kian mencuit hati. Nyata keserasian yang terjalin antara Reza Mohamed, 35, dan Marsha Milan Londoh, 27, sejak mereka menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3), menjinakkan mereka di depan lensa kamera Propaganza.

Program gosip hiburan yang ke udara setiap Ahad, jam 12 tengah hari di Astro Ria itu nampaknya semakin mengumpul ramai pengikut.

Awalnya kata Reza, Marsha bukanlah calon utama kerana calon yang menjadi pilihan produser tidak muncul ketika sesi uji bakat.

Lalu Reza terus teringatkan sahabat karibnya itu, Marsha. Meneliti konsep program itu yang sangat santai, Reza merasakan Marsha adalah calon paling layak bergandingan dengannya.

“Sebaik saja berakhirnya AF3, saya dan Marsha serta bekas peserta program realiti itu bersama-sama menjayakan program Gempak Astro. Kami berdua juga pernah berlakon bersama. Apabila pihak Astro bertanya kepada saya siapa yang selayaknya untuk berganding dengan saya, kalau ikutkan hati saya mahukan Marsha tetapi saya tidak boleh memandai.

“Saya kena merujuk kepada produksi terlebih dulu dan mereka pun bersetuju. Apabila tawaran itu diajukan kepada Marsha dia awalnya menolak kerana dia tak biasa mengacarakan program ‘live’ di TV. Namun saya beriya-iya memberinya semangat.

“Marsha memang sangat takut kerana apabila ke udara secara langsung, segala kesilapan boleh kelihatan di kaca TV. Saya berjanji kepadanya yang saya akan membantunya jika berlakunya kesilapan. Walaupun Marsha kelihatan seperti gila-gila orangnya, kalau tiba soal kerja dia fokus dan bersungguh-sungguh.

“Perkara yang paling ditakutinya adalah terlupa skrip. Ketika minggu pertama dan kedua ke udara, dia nampak macam gugup namun selepas itu semuanya sudah OK,” katanya Reza.

Propaganza kini sudah pun masuk musim kedua dan mereka berdua terus kekal sebagai pengacara. Satu musim sebanyak 26 episod. Reza seronok bekerja dengan pasukan Propaganza daripada penerbitnya, Yusry Abdul Halim sehinggalah kepada kru produksi yang mana mereka sentiasa bekerjasama.

“Sejam bersiaran, saya tak rasa seperti bekerja. Sesuatu yang penonton kena tahu juga mengenai rancangan hiburan ini, bukan saja penerbit mementingkan penampilan pengacara tetapi juga Wartawan Penyiaran (BJ) yang mencari bahan di lokasi kerana mereka akan turut kelihatan di TV,” katanya.

Sebelum ini pernah timbul isu disiplin sehingga Marsha terpaksa mengendalikan rancangan itu seorang diri.

“Apabila nak sakit, tiada siapa yang tahu. Bukan sengaja saya tidak hadir tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan, terpaksalah saya mengambil cuti sakit. Tak perlulah isu itu terus diperkatakan kerana sesiapa pun boleh jatuh sakit.

“Mulanya saya bengang juga apabila saya sakit dikatakan sengaja ponteng kerja tetapi apabila difikirkan semula, sama ada isu itu baik atau buruk, itu tandanya media tidak pernah melupakan saya. Mereka sentiasa mengambil tahu hal saya. Selama lapan tahun dalam industri saya terus diingati lalu saya mula menerima segala kritikan dengan tabah.

“Sepanjang tempoh itu saya melalui pelbagai fasa dalam kerjaya sehinggalah ia menjadikan saya orang yang matang. Saya banyak belajar dan banyak pengalaman dikutip. Segala terima setiap teguran untuk memperbaiki diri untuk menjadikan saya manusia yang cemerlang dalam kehidupan dan juga kerjaya,” katanya.

Menyambung cerita mengenai Propaganza, jelas Reza ia bukanlah rancangan yang melagakan orang tetapi ia lebih bersifat memberi penjelasan.

“Kami tidak bergosip dalam Proganza tetapi kami memberi maklumat apa yang terjadi dalam dunia hiburan. Mana-mana artis yang dikaitkan dengan berita panas dan sebagainya, kami temubual mereka untuk menjelaskan cerita sebenar. Propaganza adalah rancangan ‘info-tainment,” katanya.

Marsha dapat banyak tawaran baru

MARSHA pula berkata, selepas keluar daripada AF3, dia pernah mengacarakan rancangan wanita bertajuk Gaya Ratu yang ke udara di RTM tetapi ia dibuat secara rakaman.

“Itulah kali pertama saya kena hafal skrip yang panjang. Sangat susah kerana sukar nak mengingatinya. Apabila dapat tawaran mengacarakan Propaganza, saya tertekan kerana ia adalah disiarkan secara langsung.

“Pada mula produksi Progapanza panggil saya datang ke uji bakat rancangan itu kononnya untuk mencukupkan kuota peserta yang datang. Ketika diujibakat saya tak serius pun. Seminggu selepas itu surat tawaran muncul tapi saya tak mahu buat. Reza dan kawan-kawan yang mahu saya mencuba.

“Pada episod pertama, kami berlatih sejam sebelum ke udara tetapi sekarang dah OK tetapi Reza mesti kena ada, baru saya lebih yakin. Saya semakin seronok bersama Propaganza.

“Selepas muncul dalam Propaganza, saya terus dapat banyak tawaran mengacara tetapi saya tolak. Apatah lagi jika mengacarakan majlis korporat, saya takut tersasul sebut nama, pangkat dan status tetamu yang hadir. Buat masa ini, saya tumpukan pada Propaganza, menyanyi dan berlakon. Menyanyi adalah minat saya dari kecil. Saya tahu kemampuan diri saya di mana dan apa yang saya suka buat.

“Seperkara lagi, walaupun sudah lapan tahun menjadi warga kota, pelat Sabah saya masih kuat membuatkan saya bertambah tidak yakin untuk menjadi pengacara majlis, “ katanya.

Menurut Marsha, hubungan dia dengan Reza dan juga kru lain terus rapat kerana sebaik selesai siaran langsung, jika masing-masing tiada agenda lain, mereka keluar makan bersama-sama di Curve, Damansara dan makanan kegemaran mereka adalah Ayam Penyet.

Menyentuh kisah cinta, tegasnya dia kini solo.

“Tiada teman pengganti ataupun cinta baru, saya sibuk dengan kerja. Sebelum ini saya pernah beritahu berkenalan dengan seseorang tetapi bukannya bercinta namun ada yang salah erti.

“Saya bahagia dan gembira dengan apa yang ada sekarang. Saya mesti bekerja keras untuk memastikan kerjaya saya terus berkembang. Syukur dengan apa yang dilalui sebelum ini, ia bagaikan satu rahmat apabila orang mula memandang bakat saya,” katanya yang akan menyambut Krismas di Singapura bersama adiknya.

Reza dan Marsha ditemui ketika mereka datang ke Balai Berita untuk sesi fotografi. Marsha terpaksa berkejar dengan masa kerana pada hari itu juga dia ada penggambaran telefilem yang berjudul Antara Mimpi Cinta dan Bintang arahan Michael Ang.

Turut sama pada sesi penggambaran itu BJ Propaganza, Mohamed Hefny Sahad yang juga pemenang tempat kedua program realiti On Air, Nurul Elyana Kamalul Arifin dan Ayie Ali mengendalikan segmen Stalista.

Cerita Elyana, dia tidak berkenan dengan perangai gedik Marsha ketika menyaksikan gelagat Lufya dalam AF3 tetapi selepas bekerja dengan Marsha dia adalah rakan yang sangat baik dan suka menolong kawan-kawan.

Hefny pula menjadikan Propaganza sebagai platform untuk menimba pengalaman dalam dunia penyiaran dan untuk menjadi pemerhati fesyen yang disegani sementara Ayie banyak mengikuti perkembangan fesyen menerusi internet, YouTube serta majalah.

– Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");