Sukan Hari Ini

Schafer merendah diri

Skuad Thailand tiba di KLIA, Sepang semalam untuk mengharungi perlawanan separuh akhir Piala Suzuki AFF menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok. – utusan/FAUZI BAHARUDIN

SEPANG – Turun dengan reputasi menggerunkan dengan kemenangan bersih di peringkat kumpulan, tidak membuatkan pengendali Thailand, Winfried Schafer mendabik dada Harimau Malaya bakal mudah diratah pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Sekadar meletakkan sasaran sekurang-kurangnya keputusan seri mampu dicapai, jurulatih yang berasal dari Jerman melihat Malaysia masih liat untuk ditumbangkan apabila beraksi di gelanggang sendiri dengan mendapat sokongan padu daripada penyokong tempatan.

“Ditanya mengenai sasaran, kami hanya mahu meraih sekurang-kurangnya keputusan seri, itu pun sudah dianggap satu keputusan yang baik buat kami, asalkan kami tidak kalah.

“Tetapi kalau boleh, kami mahukan kemenangan, tidak kira dengan apa keputusan sebelum perlawanan kedua di Bangkok.

“Malaysia sebuah skuad yang kuat dan mempunyai penyerang, saya sendiri ada menyaksikan perlawanan terakhir Malaysia sewaktu berdepan Indonesia sambil diiringi 100,000 penyokong, ia memang satu suasana yang hebat,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Thailand bebas daripada sebarang masalah kecederaan kecuali pemain tengah, Arthit Sunthornphit yang digantung perlawanan berbanding Harimau Malaya.

Schafer juga tidak melihat kemenangan 2-0 pada perlawanan persahabatan 7 November lalu sebagai satu kelebihan besar kepada Thailand.

Menjadikan faktor perlawanan dan pemain sebagai alasan, Schafer seolah-olah penuh sinis mengatakan pasukan yang diturunkan di Stadium Muang Thong bukanlah pasukan sebenar Thailand dan keputusan perlawanan esok mungkin berbeza.

“Kemenangan pada perlawanan persahabatan tidak boleh diambil kira dan ia tidak akan memberi sebarang kelebihan buat kita tambahan kami turun dengan sembilan pemain berbeza.

“Bermain di Kuala Lumpur dengan mendapat (Malaysia) sokongan padu peminat di sini, pasti akan mencetus suasana yang berlainan, ” katanya.

Ditanya mengapa dia hadir terlalu lewat ke Kuala Lumpur, Schafer tidak mahu menjawab soalan berkenaan sambil menganggap dia tidak mempunyai apa-apa strategi tersendiri.
– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");