Perak Hari Ini

Sidang Dun Perak Ke-12: Perak Lepasi Sasaran Tarik 5 Juta Pelancong

Sasaran kedatangan lima juta pelancong sempena Program Tahun Melawat Perak 2012 berjaya dicapai lebih awal berdasarkan statistik kemasukan pelancong yang mencecah 5.9 juta orang sehingga Oktober lalu.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Hamidah Osman memberitahu, kadar itu dijangka akan terus meningkat dan mampu mencecah sehingga 6.5 juta pada hujung tahun.

Kejayaan itu jelasnya, berdasarkan keberkesanan hasil usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan negeri Perak melalui saluran media massa serta kempen yang dilaksanakan.

“Kepesatan aktiviti promosi dan penganjuran program pelancongan sempena Tahun Melawat Perak telah memungkinkan sasaran kedatangan pelancong sebanyak 5 juta pelancong dicapai dan menjadi realiti berdasarkan kepada kenaikan kadar purata penginapan di hotel-hotel utama,” kata Hamidah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Pokok Assam, Yee Seu Kai mengenai peningkatan jumlah pelancong pada tahun 2012 berbanding tahun sebelumnya dalam sesi soalan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Walaupun kerajaan negeri telah menambah 1,000 buah bilik menerusi naik taraf dan pembinaan hotel-hotel baru, namun jumlah berkenaan katanya, masih tidak mencukupi untuk menampung penginapan pelancong yang hadir terutamanya pada hujung minggu.

Beliau juga memberitahu, kerajaan negeri turut mengalami kesukaran mengenalpasti statistik kemasukan yang tepat pelancong dalam dan luar negeri memandangkan negeri berkenaan tidak mempunyai pintu masuk yang boleh mencatat kedatangan pelancong.

“Selama ini kita bergantung pada statisitik yang dikeluarkan oleh Tourism berdasarkan jumlah bilik menginap melebihi 24 jam di hotel-hotel terpilih.

“Keadaan itu tidak menunjukkan keadaan sebenar memandangkan ia hanya boleh digunakan untuk tujuan perbandingan,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mengikut pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri Melaka apabila mengaplikasikan format pengiraan statistik pelancong dengan mengambil kira lapan sumber antaranya produk, kolej, muzium, homestay, feri dan imigresen, tegas Hamidah.

Selain usaha mempromosi yang giat dijalankan di dalam negeri, kerajaan negeri juga katanya, giat memperkenalkan produk pelancongan negeri melalui penyertaan kali pertama Perak ke World Travel Mart di London.

“Lawatan ke London itu menghimpunkan 4,000 agensi seluruh dunia merupakan pendedahan baik kepada industri pelancongan negeri mengenal pasti pasaran luar yang boleh kita tembusi,” kata Hamidah ketika menjawab soalan tambahan Adun Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");