Isu Panas

SPRM diminta siasat Koo Ham, Kor Ming

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dua pemimpin kanan DAP Perak yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa termasuk membeli tanah bernilai puluhan jutaan ringgit bagi melaksanakan projek pembalakan di Kelantan.

Pengerusi Barisan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak, Muhammad Salleh Khan Muhammad Jaafar juga meminta Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Setiausahanya, Nga Kor Ming menjelaskan kepada rakyat bagaimana mereka boleh memiliki hampir 100 peratus ekuiti dalam syarikat Upayapadu Sdn. Bhd. (Upayapadu) yang menjalankan projek tersebut.

“Sejak isu ini didedahkan, timbul pelbagai keraguan bagaimana mereka memiliki kekayaan begitu banyak termasuk memiliki ekuiti dalam syarikat berkenaan. Banyak faktor boleh dijadikan asas oleh pihak berkuasa seperti SPRM untuk melakukan siasatan.

“Apa-apa sahaja isu berbangkit yang mencetuskan kekeliruan, mereka perlu berani memberi penjelasan konkrit kerana rakyat tidak mahu dimomokkan dengan berita atau dakwaan yang tidak diketahui sama ada fakta atau auta,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ipoh, kelmarin.

Blog pisau.net sebelum ini mendakwa Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan serta sepupunya, Kor Ming menerima tawaran tanah lebih 4,000 hektar di Kelantan sebagai balasan menerima Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar pada 2008.

Selepas dokumen demi dokumen didedahkan kepada umum, Koo Ham akhirnya mengaku melabur dan mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut manakala Kor Ming yang juga ADUN Pantai Remis menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah.

Sebelum ini, beberapa dokumen turut didedahkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menunjukkan Koo Ham memiliki 49 peratus saham dalam syarikat tersebut manakala 51 peratus lagi dimiliki syarikat Efektif Kirana Sdn. Bhd. (Efektif Kirana), dengan nilai RM51 juta.

Bagaimanapun, carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati, Koo Ham yang juga seorang peguam memiliki hampir kesemua saham dalam Efektif Kirana menjadikan beliau pemilik hampir 100 peratus kepentingan dalam Upayapadu.

Ketua Wira Perkasa Perak, Irwan Fahmi Idris pula berkata, siasatan telus perlu dilakukan memandangkan rakyat mula mempersoalkan kredibiliti kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Jika ada pendapatan sebagai ADUN dan peguam sekalipun, berapa banyak mereka boleh dapat, paling kurang pun mungkin RM12,000 sebulan. Jadi, berapa puluh tahun pula mereka mahu kumpul untuk dapat berpuluh-puluh juta ringgit?,” katanya.

Sehubungan itu, Irwan Fahmi turut mendesak SPRM bersikap profesional dan proaktif dalam menyiasat kes tersebut tanpa memilih bulu.

“Kita lihat kebanyakan kes yang membabitkan pemimpin kerajaan cepat disiasat, tetapi tidak berlaku jika melibatkan pemimpin pembangkang. Kita harap SPRM dapat melakukan siasatan secara adil dan saksama,” katanya.

– UTUSAN MALAYSIA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");