Jenayah

Suami dipenjara, isteri bebas

Mohammed yang dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan, sempat memberikan senyuman ketika wajahnya dirakamkan.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang tukang masak warga Myanmar atas kesalahan memiliki ganja manakala isteri lelaki itu dilepas dan dibebaskan bagi tuduhan sama, semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammed Ali,37 mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan terhadapnya di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun isteri tertuduh,  Salemah Mashor, 51, seorang rakyat tempatan, diwakili peguam, Mohd Sukaimi Mashud tidak mengaku salah atas pertuduhan pilihan terbabit dan minta dibicarakan.

Mohamed dan Salemah sebelum itu, membuat pengakuan tidak bersalah atas kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar ganja seberat 882 gram dan minta dibicarakan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang diwakili peguam Bernard George itu, ditahan bersama isterinya di sebuah kediaman di Jalan Saga 4, Taman Saga, Kulaijaya, pada 21 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan kedua-duanya boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Anwar Ab Raof menawarkan pertuduhan pilihan terbabit terhadap pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak tahun 2005 itu, selain mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pihak pembelaan merayu supaya hukuman minimum dikenakan kepada Mohamed kerana telah mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan terhadapnya sekaligus menjimatkan masa mahkamah.

Rayuan itu dibuat atas alasan menanggung isteri, ibu, kakak dan empat anak saudaranya yang tinggal bersamanya di sini, selain menghantar wang setiap bulan kepada keluarganya di Myanmar.

Samsudin dalam penghakimannya memaklumkan, hukuman yang dijatuhkan turut mengambilkira kesalahan yang dilakukan tertuduh dan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun 10 sebatan dari tarikh tangkap kepada tertuduh pertama manakala isterinya dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dikemukakan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");