Membawang Hari Ini

Teater Muzikal Ali Baba menghiburkan, gamit perhatian penonton

Menghiburkan… Begitulah gambaran yang boleh diberikan ketika menonton pementasan Teater Muzikal Ali Baba yang sedang berlangsung di pentas berprestij Istana Budaya (IB) sehingga 29 Disember ini.

Teater diadakan sempena musim cuti persekolahan ini mendapat sentuhan pengarah Lokman Ghani.

Dibintangi pelakon popular tanah air seperti Aznil Nawawi (Ketua Penyamun), Fizo Omar (Ali Baba), Elfira Loy (Marjina) dan Ebby Yus (Kassim Baba) sebagai teraju utamanya, ia mendapat sambutan hebat daripada penonton, khususnya ibu bapa yang membawa anak mereka menonton teater ini.

Turut menjayakannya, Najua P Ramlee (Aloyah), Aziz M Osman (Baba Mustafa), Zarina Raja Lawak (Nursiah) dan adik Danish Zakwan (Sarjan Penyamun).

Mengimbas sejenak pementasan teater ini, pembukaannya sahaja sudah cukup untuk menggamit perhatian penonton yang hadir menyaksikannya.

Ia dimulakan oleh sekumpulan kanak-kanak yang mengambil latar belakang di sebuah kota bercerita mengenai kisah Ali Baba.

Kemudian bermulalah episod dan perjalanan Ali Baba yang diberi nafas baru menerusi pementasan ini.

Meski pun hanya beberapa babak penting diangkat ke dalam teater ini, namun ia masih mampu menyampaikan perjalanan cerita asalnya dengan baik.

Lebih menyenangkan apabila lagu yang ditampilkan tidak meleret dan kena pada masa.

Antara lagu yang dipersembahkan seperti Aiya! Cik Baba, Alangkah Indah Di Waktu Pagi, Alhamdulillah Syukur Nikmat, Nasib, Hoi Ya Hoi dan Ya Habibi Ali Baba.

Bercerita mengenai barisan pelakonnya pula, boleh dikatakan mereka bijak memainkan peranan masing-masing.

Sebagai insan seni yang cukup berpengalaman dalam bidang teater, penglibatan Aznil tidak perlu dipertikaikan lagi.

Menjadi ketua penyamun mirip Kapten Jack Sparrow (Pirates Of The Carribean), dilihat sangat mudah baginya.

Berbanding pelakon lain, Fizo dan Elfira, sememangnya masih mentah dalam bidang teater.

Melihat kepada persembahan mereka, keduanya bagaikan kurang ‘hidup’ di atas pentas.

Fizo bagaimana pun, masih boleh diberikan pujian kerana menjadi diri sendiri ketika pementasan dilakukan.

Merujuk kepada Elfira pula, boleh dikatakan dari awal kemunculan sehingga ke penghujung, tidak memberi sebarang impak kepada pementasan tersebut.

Bagi Ebby Yus, Aziz M. Osman serta Zarina pula, karakter yang digalas sangat serasi dalam diri mereka dan mendapat pujian daripada penonton.

Lebih menarik, pementasan ini diserikan lagi dengan kehadiran ahli silap mata terkenal, Mahdi Moudini dengan melakukan beberapa persembahan silap mata dalam babak-babak tertentu teater ini.

Suasana pentas dilengkapi set gergasi yang digambarkan seperti dalam filem Ali Baba juga menjadikan pementasan ini lebih sempurna.

Jadi penyeri

Meski pun penangan teraju utamanya seperti Aznil dan Ebby Yus dilihat cukup kuat menjadikan pementasan teater ini berjaya namun, kemunculan Najua dan Adik Danish tidak kurang hebatnya.

Keduanya begitu bijak memainkan peranan masing-masing sehingga membuatkan penonton tidak sabar-sabar menunggu setiap babak yang dilakonkan mereka.

Menariknya, mereka dilihat lebih menonjol berbanding Fizo dan Elfira sendiri.

Najua misalnya, nampak sempurna dan begitu menjadi memainkan peranan sebagai Aloyah.

Dia juga tidak kekok dia atas pentas sementelah lagi sudah mempunyai banyak pengalaman dalam bidang ini.

Bagi Adik Danish pula, menjadi Sarjan Penyamun bukanlah sesuatu yang mencabar baginya.

Mungkin naluri kanak-kanak dalam dirinya membuatkan dia nampak semula jadi dan setiap keletahnya sentiasa menjadi perhatian penonton.

Wajar dikatakan pembabitan kedua pelakon ini menyerikan lagi pementasan teater tersebut.

Dalam pada itu, sebagai memberikan sedikit kelainan menerusi pementasan ini, tarian yang menjadi fenomena, Gangnam Style turut diselitkan.

Nyata ia mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Jadi diri sendiri: Fizo

Walau pun wataknya dilihat kurang berjaya, namun anak kelahiran Kelantan ini tidak patah semangat, sebaliknya menanggap sudah puas dengan persembahan pada malam tersebut.

Baginya, jika dibandingkan lakonannya dengan Datuk Aziz Sattar (pelakon asal filem Ali Baba), sudah pasti dia tidak mampu menandingi kehebatan seniman itu.

“Menjadi diri sendiri adalah lebih baik daripada mencuba sesuatu yang boleh menjengkelkan penonton.

“Mungkin penonton melihat karakter saya sangat berbeza dengan Datuk Aziz, lagi pun saya hanya pelakon dan bukannya pelawak.

“Tetapi Datuk Aziz merangkumi semua itu, melihat aksinya sahaja penonton sudah ketawa,” ujarnya seronok diberikan peluang berlakon teater ini.

Berikan yang terbaik: Aziz M Osman

Memegang peranan sebagai Baba Mustafa, nyata lakonan pelakon senior ini menjadi dan lekat di hati penonton.

Tutur kata dan gerak-gerinya sahaja sudah cukup membuatkan penonton pecah perut.

Pastinya, pemilihan Aziz untuk memainkan peranan ini tepat dan yang penting tidak membosankan.

Bercakap mengenai wataknya, Aziz memberitahu, dia memberikan yang terbaik dalam memastikan Baba Mustafa hidup di mata penonton.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak berlakon teater, jadi apabila diberi peluang ini sudah pasti saya tidak menolaknya.

“Meski pun Lokman bapa mertua saya, namun ia tidak menjadi masalah dan kami bersikap profesional.

“Saya tetap memberi keutamaan kepada tanggungjawab yang diberi dalam menjamin kejayaan pementasan ini,” kata suami kepada Puteri Lily ini.

Tetap berpuas hati: Lokman

Bercakap mengenai pementasan ini, Lokman memberitahu dia sudah cukup berpuas hati kerana tiada sebarang kesilapan besar berlaku sepanjang pementasan dilakukan.

“Semuanya berjalan dengan lancar, dari segi teknikal, pelakon dan set sangat memuaskan hati saya walaupun kami hanya mempunyai masa lebih kurang sebulan sahaja menyiapkan semua ini,” katanya.

Menyentuh mengenai selingan tarian Gangnam Style yang diselitkan, ujar Lokman, ia sekadar memberi sedikit kelainan terhadap pementasan ini.

“Jika perjalanan ceritanya sama, pasti penonton sudah boleh mengagak apa yang akan berlaku.

“Bukan untuk merosakkan karya, tetapi sebagai hiburan dan kejutan semata,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");