Sukan Hari Ini

Tiada rehat buat Nicol

Nicol David tersenyum sambil menjulang trofi Piala Dunia yang dimenanginya buat kali ketujuh di Kepulauan Cayman, baru-baru ini. Ratu skuasy dunia itu akan kembali memanaskan gelanggang untuk mempertahankan gelaran Siri Dunia Akhir WSA di The Queens Club, London pada 2-6 Januari depan.

KUALA LUMPUR – Belum pun berusia dua minggu dimahkotakan selaku juara dunia untuk rekod kali ketujuh, Datuk Nicol David bakal kembali ke gelanggang untuk misi mempertahankan gelaran Siri Dunia Akhir WSA di The Queens Club, London pada 2-6 Januari depan.

Ia adalah edisi kedua pertandingan yang menampilkan lapan pemain terbaik dunia dalam Siri Jelajah Dunia sepanjang musim 2012.

Edisi sulung tahun lalu di gelanggang yang sama menyaksikan Nicol menumpaskan jaguh Ireland, Madeline Perry 11-9, 11-9, 11-9, pada perlawanan akhir untuk muncul juara pertama.

Diletakkan selaku pilihan utama, Nicol diundi dalam Kumpulan A bersama pemain No. 3 dunia England, Laura Massaro iaitu lawan yang ditewaskannya pada final Terbuka Dunia baru-baru ini, serta Annie Au dari Hong Kong dan pemain No. 2 dunia, Natalie Grinham yang mewakili Belanda.

Kumpulan B menampilkan dua pemain Mesir, Raneem El Weleily dan Nour El Sherbini dan mereka akan dicabar Jenny Duncalf (England) dan Camile Serme (Perancis).

Berdasarkan prestasi semasa, Nicol patut terlalu ampuh untuk digugat mana-mana pesaingnya dan dijangka membuka tirai musim 2013 dengan kejuaraan pertama di London.

Malangnya, Nicol tidak akan disertai rakan senegara, Low Wee Wern selepas pemain No. 7 dunia itu gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dari segi pungutan mata ranking Jelajah Dunia.

Juara Terbuka China berusia 22 tahun itu terlepas hanya satu anak tangga apabila berkongsi tangga kesembilan dengan naib juara tahun lalu, Madeline.

Begitupun, ia tetap satu hikmah buat Wee Wern kerana ia memberikan dia kesempatan untuk pulih daripada kecederaan otot paha yang menimpanya pada Terbuka Hong Kong, iaitu beberapa minggu sebelum bertandang ke Kepulauan Cayman untuk saingan Terbuka Dunia yang mana dia cemerlang mara sehingga ke suku akhir sebelum disingkirkan oleh Massaro.

 

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");