Laporan Eksklusif

TPM Mahu SAR Terus Dimajukan, Tidak Diabaikan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Sekolah Agama Rakyat (SAR) mahu pun pondok Maahad Tahfiz tidak seharusnya ketinggalan dalam segala aspek setelah sekolah itu dibangunkan oleh masyarakat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, menurutnya, pengurusan sekolah khasnya dari aspek pendidikan murid-murid, mata pelajaran serta tenaga pengajar harus diperkasakan bagi menzahirkan kelompok muda Islam terdidik dengan ilmu Islam yang mencukupi.

Semua ini katanya, dapat dicapai jika kerjasama antara kerajaan Pusat dan SAR dipereratkan bagi meningkatkan mutu pendidikan Islam agar ia menjadi lebih berkualiti.

“Maka itu sebabnya, kita mengambil satu pendirian bahawa perlu ada kerjasama dan gandingan yg rapat antara pihak kerajaan dengan SAR.

“Kerajaan yang saya maksudkan ini ialah kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu komited dalam soal ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Kepimpinan Guru-guru SAR dan Pondok negeri Kedah di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Alhalimiah, Padang Lumat, dekat Gurun.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Muhkriz Tun Mahathir.

Muhyiddin berkata lagi, adalah malang malang bagi negara yang mendukung prinsip Islamiah jika tidak ada pendidikan agama yang betul-betul berkualiti.

Jelasnya, ada pihak yang mendakwa kerajaan Pusat mengabaikan prinsip untuk menegakkan syiar Islam, ia hanyalah fitnah dan penafian terhadap apa yang dimiliki kerajaan.

“Saya berharap agar pengasas SAR yang belum bersetuju menjadi SABK memikirkan semula tawaran kerajaan itu bagi warisan pendidikan berteraskan agama dapat dikekalkan,” jelasnya lagi.

Seiring dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersedia membantu meningkatkan mutu pelajaran di SAR meskipun di negeri yang dikuasai pembangkang.

Buktinya, Muhyiddin telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM600,000 kepada 12 SAR iaitu setiap sekolah masing-masing menerima RM50,000 manakala RM20,000 lagi diberikan kepada tujuh pondok tahfiz di Kedah.

Di majlis itu juga, Muhyiddin sempat meluangkan masa untuk melawat projek membina dewan besar Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Alhalimiah dan menunaikan solat Maghrib berjemaah di sekolah berkenaan.

Di sebelah pagi tadi,  Timbalan Perdana Menteri mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 4,000 penjawat awam Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");