Jenayah

37 nelayan Vietnam ditahan

Sebahagian daripada 37 awak-awak Vietnam yang ditahan, kelmarin.

KOTA BAHARU – Seramai 37 nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia pada dua serbuan berasingan Tok Bali dan Kuala Besar di Pasir Puteh, kelmarin.

Awak-awak berusia antara 18 dan 50 tahun itu ditahan bersama tiga bot nelayan dengan jumlah rampasan bernilai RM1.3 juta.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Tok Bali (DM10), Kapten Wan Burhanuddin Jusoh berkata,  tangkapan pertama dibuat di 98 batu nautika dari Tok Bali melibatkan sebuah bot dan 10 awak-awak dari negara itu pada jam 7 malam, Ahad lalu.

Manakala, kes kedua, dua bot melibatkan 27 awak-awak ditahan di 40 batu nautika dari Kuala Besar pada jam 12.55 tengah hari, kelmarin.

“Tangkapan melibatkan nelayan asing itu adalah pertama kali bagi tahun ini. Mereka dipercayai menggunakan kesempatan ketika laut bergelora untuk menangkap ikan secara haram kerana percaya penguatkuasa tidak menjalankan rondaan di samping nelayan tempatan tidak turun ke laut.

“Nilai tiga buah bot yang dirampas ialah RM1.3 juta. Tiada hasil tangkapan yang dirampas kerana mereka baru sahaja memasuki perairan negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, bagi kes tangkapan pertama, kesemua mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan lesen bot tempatan. Sementara, nelayan yang ditahan pada tangkapan kedua akan dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

“Pihak APMM menjalankan rondaan selama 24 jam bagi mengekang kegiatan itu sepanjang musim tengkujuh dan kami tidak akan berkompromi dengan nelayan asing.

“Sehubungan itu, kami juga meminta kerjasama nelayan tempatan yang mempunyai maklumat berhubung pencerobohan nelayan asing agar melaporkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, kesemua nelayan asing yang ditahan itu dikenakan perintah reman selama 13 hari oleh Mahkamah Kota Bharu di sini bagi membantu pihak berkuasa meneruskan siasatan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");