Sukan Hari Ini

40,000 dijangka penuhi Stadium Shah Alam

KIRA-KIRA 40,000 penonton dijangka hadir ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Kelantan dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu nanti.

Kelantan mencatat kejuaraan treble, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia manakala ATM yang mengungguli Liga Perdana muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Stadium Shah Alam dipilih untuk menjadi gelanggang perlawanan tahun ini selepas mengambil kira kualiti padang yang lebih baik berbanding di Kota Bharu.

“Melalui mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan, kedua-dua pasukan bersetuju dengan apa yang dibincangkan dan format perlawanan juga tidak berubah.

“Kita menganggarkan 31,000 hingga 40,000 penonton yang akan hadir pada malam tersebut dan segala persiapan perlawanan termasuk soal keselamatan adalah sama seperti perlawanan akhir Liga Malaysia,” katanya ketika Sidang Media Mesyuarat Pengelola Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2013, Stadium Shah Alam semalam.

Piala Sumbangsih atau Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang diperkenalkan pada tahun 1985, merupakan perlawanan pembuka tirai bagi musim Liga Malaysia dimana juara Piala Malaysia pada musim lepas akan menentang Juara Liga Super pada perlawanan pertama musim ini.

Memandangkan Kelantan merupakan juara bagi kedua-duanya, ATM sebagai naib juara Piala Malaysia dipilih untuk mengisi slot juara Piala Malaysia.

Sesuai dengan konsep perlawanan yang diadakan untuk bantu badan-badan kebajikan, Hamidin berkata, hasil kutipan perlawanan akan disumbangkan kepada 16 badan kebajikan termasuk badan kebajikan tentera dan polis.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");