Jenayah

Datuk antara 24 kaki judi nombor ekor ditahan

KUANTAN – Seorang warga emas berusia 76 tahun antara 24 kaki judi nombor ekor yang ditahan hasil pemantauan dan pemeriksaan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam (Jaip) di beberapa premis judi berlesen di sekitar bandar ini kelmarin.

Kaki judi berusia antara 30 hingga 76 tahun itu ditahan kerana berada dalam premis judi yang menjadi satu kesalahan bagi umat Islam di bawah Seksyen 16 Enekmen Pentadbiran Keluarga Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1984.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jaip, Raffli Abdul Malek berkata, rata-rata mereka yang ditahan berada di dalam premis sedang membeli pertaruhan dan ada yang baru masuk bagi tujuan sama.

Menurutnya, agak mengejutkan kerana rata-rata yang ditahan sudah berumur dan sebahagiannya sudah layak bergelar datuk.

“Dalam pemeriksaan ini, ada juga beberapa kaki judi sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai pejabat agama.

“Kebanyakan yang berjaya ditahan memberi alasan mereka membeli nombor ekor sekadar suka-suka namun ada juga yang secara terangan memberitahu judi itu menjadi minat mereka dan sukar untuk menghentikan tabiat tersebut,” katanya.

Rafli berkata, walau apa pun alasan mereka, menjadi satu kesalahan individu Islam untuk berada di dalam premis judi apatah lagi bertaruh.

“Semua yang ditahan diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah dalam masa terdekat.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pegawainya juga turut membuat pemantauan dan gerakan pencegahan di kawasan terbuka serta pusat beli belah dengan kerjasama penuntut kolej.

Menurutnya, hasil daripada usaha itu, dua notis arahan untuk hadir semua bagi siasatan dikeluarkan terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 184 dan 183 Enekmen Pentadbiran Keluarga Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1984.

“Kesalahan tersebut adalah berkelakuan kurang sopan (berpelukan) dan berpakaian mendedahkan tubuh di khalayak ramai,” katanya.

Rafli berkata, pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan dalam usaha mendidik orang ramai supaya menjaga keperibadian dan maruah sebagai Islam.

“Sempena sambutan tahun baru ini kita cuba sedarkan mereka terutama golongan muda supaya tidak libatkan unsur maksiat dalam sebarang acara yang disambut,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");