Membawang Hari Ini

Erra harapkan sinar tahun baru

APABILA menyebut nama figura tinggi langsing, Erra Fazira, pastinya ramai mengakui daya penarik selebriti berstatus pelakon, penyanyi, model dan kini pengacara yang pernah digelar Primadona Filem Melayu ini.

Selain penampilan yang tidak pernah ‘gagal’ meraih perhatian, kisah tentang dirinya juga tidak pernah lekang menjadi bualan. Sekalipun ada di antara cerita-cerita yang hadir menggores naluri wanitanya, namun isteri kepada Engku Emran dan ibu kepada puteri tunggal Engku Aleesya tidak pernah melatah.

Lali dengan segala macam sepak terajang dunia glamor yang diceburi, Erra terus fokus membina kerjaya sebagai anak seni.

Akui Erra, penglibatannya dalam produksi Primadona yang disiarkan di Astro Prima sebagai pengacara bersama dengan tiga orang lagi ibu-ibu sensasi, Raja Azura, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan, mematangkan lagi dirinya dalam menghadapi pelbagai dugaan serta cabaran kehidupan. Bersempena keluaran Januari 2013, Erra sempat berkongsi cerita dan impian.

SDK: Apa perkembangan terbaru Erra?

ERRA: Selain sibuk sebagai pengacara rancangan Primadona, Erra juga masih aktif berlakon danbaru habis penggambaran drama rantaian 13 episod berjudul Nur Malinda. Dalam drama ini Erra memegang watak sebagai pelakon pembantu saja.

Selain drama rantaian, Erra juga baru habis penggambaran telefilem berjudul Demi Kamu Cinta yang bergenre komedi romantik. Dalam drama ini Erra bergandingan dengan seorang pelakon kelahiran Negeri Sembilan tetapi mencipta nama sebagai pelakon di Indonesia, Keith Foo. Selebihnya, Erra banyak dengan Primadonalah.

SDK: Sebagai ‘orang baru’ dalam dunia pengacara, apakah cabaran yang Erra hadapi?

ERRA: Terus-terang, penglibatan Erra dalam bidang pengacara ini merupakan satu pengalaman yang baru dan menarik. Banyak yang Erra pelajari daripada pengalaman ini. Walaupun sebelum ini sudah biasa berada di depan kamera dan menjadi hos rancangan-rancangan berbentuk hiburan, tetapi sebagai pengacara sepenuhnya sebagaimana dalam Primadona bagi Erra berbeza sama sekali.

Kita kena bijak mencari keseimbangan memandangkan ada empat orang pengacara. Dengan pengalaman Erra yang tidak seberapa dalam bidang ini, Raja Azuralah yang banyak membantu kami.

Memandangkan setiap episod mempunyai topik dan isu yang dibicarakan, jadi sebelum rakaman dilakukan, kami banyak duduk berbincang. Memang tidak dinafikan, pada peringkat awal ditawarkan mengacarakan rancangan ini, Erra sendiri pun berasa, alamak, boleh ke ni? Tapi, macam Erra katakan tadi, Raja Azuralah yang banyak memberi idea dan tunjuk ajar.

SDK: Sepanjang tempoh menceburi bidang seni, adakah Erra sudah puas dengan pencapaian yang dikecap kini?

ERRA: Alhamdulillah, nak dikatakan sukses sangat tu tidaklah, tetapi sebahagian daripadanya dapat Erra capai. Dari segi kepuasan, masih banyak lagi yang Erra perlu belajar kerana dalam setiap apa saja bidang yang kita ceburi, Erra percaya banyak perkara yang perlu kita tingkatkan lagi. Learning is a never ending process. Dalam apa jua yang kita lakukan, perlu ada peningkatan.

Dalam lakonan, sebahagiannya Erra sudah capai. Jadi, untuk mempertingkatkan lagi diri ini, Erra akan cuba fokus lebih kepada cabang baru lain seperti sebagai pengacara, penerbit, dalam bidang bisnes dan sebagainya.

Memang tidak dinafikan, rezeki Erra dalam bidang seni agak bagus, tapi sampai bila nak mengharapkan pendapatan sebagai artis saja? Sebab itulah Erra tidak pernah jemu untuk mempertingkatkan pengetahuan dan mencuba dalam pelbagai cabang berbeza yang dapat menjamin masa depan.

Walaupun masih aktif berlakon, tetapi Erra sudah mula mengurangkan aktiviti ini. Sebenarnya hasrat untuk mengurangkan aktiviti berlakon ini sudah ada sejak berkahwin dan mempunyai anak lagi.

Kalau terima pun (tawaran berlakon), Erra kena bijak membahagikan masa dan situasi di antara kerjaya dan keluarga sebab bagi Erra, apabila sudah mempunyai keluarga, keutamaan akan beralih ke situ apatah lagi setelah mempunyai anak.

SDK: Bercakap mengenai lakonan, agaknya apa lagi watak yang Erra ingin cuba atau impikan?

ERRA: Sebagai pelakon, memang tidak dinafikan setiap orang mempunyai watak idaman. Walaupun sudah pelbagai watak yang Erra pegang, tetapi ada banyak lagi sebenarnya watak yang belum dicuba.

Dalam filem aksi misalnya, walaupun sudah mencuba pelbagai watak, tetapi kebanyakan watak yang Erra pegang belum lagi yang benar-benar ‘hardcore’. Sebagai pelakon, apa saja watak yang diberikan waima watak tukang sapu sekali pun, ia mempunyai karakter tersendiri dan kita harus deliver dengan sebaik mungkin.

SDK: Menjelang 2013, apa perancangan tahun baru Erra?

ERRA: Untuk tahun baru ini, insya-Allah, Erra sudah ada beberapa perancangan. Antaranya adalah untuk mengembangkan lagi sayap dalam cabang lain selain berlakon dan menyanyi seperti dalam bidang bisnes.

Sebenarnya bidang bisnes ini pun bukanlah baru sangat. Dalam diam sebenarnya Erra dah bertatih dengan business on line sejak setahun kebelakangan ini, tetapi lebih kepada untuk test market. Ialah, selama manalah Erra nak bergantung harap dengan bidang lakonan dan nyanyian saja. Jadi, sementara ada waktu terluang, Erra bercadang untuk bergerak aktif semula.

Selain menjual pakaian, melalui bisnes ini juga Erra turut menganjur dan menguruskan bengkel memasak atau membuat kek. Alhamdulillah, walaupun masih baru dan masih bertatih lagi, tapi percubaan ini mendapat maklum balas yang bagus.

Pada masa yang sama, Erra juga sedang dalam perancangan dengan Umi Aida untuk menerbitkan sebuah teater.

SDK: Bercerita tentang keluarga, bagaimana hubungan Erra dengan keluarga dan bagaimana meluangkan masa bersama?

ERRA: Alhamdulillah, keluarga tetap keutamaan. Walaupun agak sibuk, tapi sejak dari dulu lagi Erra akan peruntukkan satu masa khusus untuk bersama suami, anak dan keluarga sama ada keluar makan dan sebagainya.

SDK: Ceritakan tentang si comel Aleesya. Sebagai ibu, bagaimana pendekatan Erra dalam mendidik Aleesya?

ERRA: Aleesya sekarang sudah memasuki usia 3 tahun lebih. Dah semakin besar dan semakin banyak cakap dan bertanya (diiringi tawa kecil). Sebagai ibu, Erra memang seorang yang suka memanjakan Aleesya, tetapi pada masa yang sama Erra juga tegas untuk beberapa perkara dan keadaan terutama dari segi disiplin.

Erra tidak mahu memanjakan Aleesya dengan kemewahan. Bagi Erra, biarlah dia biasa dengan kehidupan yang secukupnya sebab kita dididik untuk sentiasa bersyukur dengan apa telah diberikan. Di mana perlu dicantikkan, kita cantikkan. Di mana yang silap atau lemah, kita perbetulkan dan perbaiki. Dalam mendidik anak pada masa sekarang yang penuh cabaran ini, Erra banyak merujuk kepada pengalaman persekitaran dan juga bahan bacaan.

SDK: Sebagai artis, Erra merupakan antara yang tidak pernah lekang daripada gosip. Bagaimana Erra menanganinya?

ERRA: Pada Erra, gosip sudah lumrah. Dari sejak belum berkahwin, bercerai dan berkahwin lagi, ia tak pernah berhenti datang dan pergi. Semua itu Erra anggap asam garam kehidupan dunia artis yang tidak pernah sunyi daripada gosip.

Kita tidak upaya untuk menghalang orang untuk terus bercakap tentang kita. Dah lali dah dengan dugaan dan gosip ni. Bagi Erra, selagi keluarga atau mereka yang rapat dan kenal siapa Erra, di mana dan apa yang sebenarnya tahu, Erra anggap gosip itu semua masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Fikir positif.

SDK: Aleesya sudah menjangkau hampir 4 tahun. Tidak terfikir untuk menambah cahaya mata?

ERRA: Itu pun Erra berserah kepada Tuhan. Kalau ada rezeki, Erra menerimanya dengan penuh kesyukuran. Erra tidak ada perancangan untuk itu semua.

SDK: Harapan Erra untuk 2013.

ERRA: Erra berharap untuk 2013 ini akan menghadirkan sesuatu yang lebih baik lagi sama ada dalam rezeki, karier mahupun keluarga.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");