Sukan Hari Ini

Faktor usia batasi jumlah penyertaan Chong Wei

KUALA LUMPUR – Biarpun Datuk Lee Chong Wei belum menunjukkan tanda penurunan prestasi pada usia mencecah 31 tahun, namun Tey Seu Bock tetap mengambil langkah berhati-hati untuk melindungi jaguh No. 1 dunia itu dengan mengurangkan dos latihan, selain jumlah kejohanan yang akan disertai.

Pemain itu hanya akan dibenarkan bertanding dalam dua kejohanan berturut-turut sekiranya pertandingan tersebut penting, seperti Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia, baru-baru ini.

Dia tidak akan beraksi dalam lebih daripada dua kejohanan secara berturut-turut, malah pendekatan latihannya juga diubah daripada kuantiti kepada kualiti.

“Prestasinya sekarang memang di tahap terbaik dan dia berada di landasan yang betul untuk menghadapi Kejohanan Dunia nanti, namun kita perlu ingat kudratnya tidak semuda dulu dan dia harus ada keutamaan.

“Untuk tahun ini, dua kejohanan tumpuan Chong Wei adalah All England dan Kejohanan Dunia, jadi semua persiapan dan keutamaan harus terarah kepada dua kejohanan ini. Dia tidak boleh beraksi berlebihan, begitu juga dengan latihan.

“Paling maksimum dia boleh bertanding adalah dua kejohanan berturut-turut, itu pun dalam pertandingan yang betul-betul perlu. Selepas tamat Terbuka Malaysia, dia akan berehat dan hanya kembali untuk All England (5-10 Mac).

“Selepas tamat All England pula, dia tidak akan bermain di Terbuka Switzerland seperti kebiasaan, sebaliknya terus kembali ke Malaysia. Kejohanan seterusnya ialah Terbuka India (23-28 April). Dia kena buat begitu untuk mendapat rehat yang cukup,” kata jurulatih perseorangan negara itu.

Menurut Seu Bock, program latihan Chong Wei juga sudah diubah mengikut usia, ia tidak lagi mementingkan kuantiti atau dos yang tinggi, sebaliknya kualiti latihan yang diutamakan.

Hasrat Chong Wei untuk mencari kejuaraan All England buat kali ketiga tampak lebih cerah apabila seteru utamanya, Lin Dan semalam mengumumkan dia hanya akan kembali ke lapangan pada Jun ini.

Jaguh China itu mengambil keputusan berehat panjang sejak kejayaannya mempertahankan pingat emas Sukan Olimpik di London, Ogos lalu.

Ketiadaannya di pentas antarabangsa sepanjang lima bulan menyaksikan Lin Dan kini jatuh ke ranking 13 dunia.

Lin Dan, 30, dijangka membuat kemunculan pertama pada Terbuka Indonesia, 11-16 Jun, kejohanan yang turut disertai oleh Chong Wei. Malah, pemain China itu juga akan bertanding pada Terbuka Singapura dari 18-23 Ogos.

“Ketiadaan Lin Dan menimbulkan tanda tanya kepada kita, sejauh mana keadaan pemain itu menjelang Kejohanan Dunia,” kata Seu Bock.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");