Umat Islam di rantau Asia Tenggara perlu mempratikkan lima pendekatan iaitu melaksanakan perubahan, pendidikan, pembangunan, perpaduan dan pemerintahan bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin getir dewasa ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata umat Islam kini berhadapan dengan pluralisme, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pelampau agama, kemunduran dan globalisasi.
“Masalah dan cabaran yang membelenggu umat Islam di rantau Asia Tenggara boleh diselesaikan dengan pendekatan 5 P iaitu perubahan, pendidikan, pembangunan, perpaduan dan pemerintahan.
“Ketika ini, umat Islam menghadapi ancaman pluralisme, seks bebas, pelampau agama, kemunduran dan globalisasi.
“Dalam soal pluralisme, ada pihak sanggup mengorbankan segala-segalanya untuk kemenangan kerusi politik hingga kalimah Allah juga digadaikan.
“Selain itu, cabaran seks bebas juga dihadapi umat Islam hingga demonstrasi seks bebas dianjurkan secara terbuka manakala pelampau agama pula sanggup bertindak secara membuta tuli,” katanya berucap merasmikan penutup Seminar Islam Di Asia Tenggara- Cabaran Dan Harapan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi menghadapi cabaran itu umat Islam di rantau Asia Tenggara perlu melakukan perubahan kerana nasib sesuatu kaum atau tamadun tidak akan berubah sekiranya mereka tidak berusaha untuk mengubahnya sendiri.
Selain itu, pendidikan adalah penyamarataan terhebat, sekaligus berupaya menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang dewasa ini, katanya lagi.
“Dalam soal pendidikan ini, ia bukan sekadar terhad kepada pembangunan insan tetapi juga pembangunan fizikal kerana ia juga dituntut oleh Islam.
“Selain itu, bantuan dalam bentuk keilmuan dan teknologi juga boleh disalurkan kepada umat Islam di negara Asia Tenggara yang masih ketinggalan,” katanya lagi.
Seterusnya, umat Islam katanya, perlu perhatian kepada perpaduan ummah dan pemerintahan agar negara yang ada hari ini lebih baik dari sekarang.
Dalam perkembangan berkaitan, cabaran yang dihadapi perlu digabungkan dengan konsep wasatiyyah yang memperjuangkan keadilan, keseimbangan, kesederhanan dan terbaik yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sementara itu, Ahmad berkata, penganjuran seminar berkenaan dapat menghimpunkan cendiakawan, ilmuan, agamawan, ahli strategi dan pembuat dasar dari negara serantau ASEAN.
“Natijahnya yang cukup baik dan amat berharga dapat kita hasilkan dengan adanya perkongsian ilmu dan hubungan silaturrahim yang erat sesama kita.
“Melalui seminar ini, kita berjaya menghidupkan ruang perbincangan ilmu dan diskusi dengan semangat yang terbuka dan ikhlas. Mudah-mudahan ia mampu mengharmonikan usaha kita dalam mendepani cabaran dan harapan umat Islam di rantau ini,” katanya lagi.