Perak Hari Ini, Program Basmi Kemiskinan

‘Hari Bertemu Rakyat’ Pendekatan BN Dengar Masalah Secara Terbuka

Sejak empat tahun lalu, program ‘Hari Bertemu Rakyat’ yang diperkenalkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berjaya memberi peluang kepada ribuan rakyat negeri itu menyuarakan sendiri permasalahan mereka secara terbuka kepada pucuk kepimpinan negeri.

Tanpa sebarang protokol, program yang berlangsung di Dewan Serbaguna, SUK pada setiap Selasa itu mendapat sambutan baik daripada rakyat Perak tanpa mengira latar agama, bangsa dan fahaman poltik.

“Hari Bertemu Rakyat” ini bukanlah perkara baru dan seingat saya sudah beribu-ribu rakyat datang berjumpa dengan saya dan banyak masalah telah berjaya kita selesaikan dalam tempoh hampir empat tahun lalu,” kata Zambry kepada pemberita di Ipoh.

Zambry berkata, sekiranya beliau tidak dapat hadir di atas sebab tertentu seperti menghadiri mesyuarat kabinet yang melibatkan pentadbiran negeri mahupun persekutuan, sesi mendengar permasalahan rakyat itu tetap diteruskan.

Pegawai atasan dan kakitangan awam yang berkelayakan katanya, ditugaskan untuk mengendalikan program “Hari Bertemu Rakyat” itu bagi membantu dan menyelesaikan masalah yang dikemukakan oleh rakyat agar ia dapat ditangani dengan baik.

Namun, sekiranya terdapat pihak yang tidak berpuas hati, beliau berharap perkara itu tidak dinilai berdasarkan kepada aduan yang dibuat semata-mata.

“Saya harap rakyat melihat prestasi yang dilakukan oleh saya dan pegawai-pegawai dalam tempoh empat tahun kami cuba membantu menyelesaikan masalah rakyat,” ujar beliau.

Zambry berkata demikian sebagai mengulas aduan pembaca Syed Abdullah Syed Osman dari Ampangan Seremban dalam ruangan forum sebuah akhbar yang meluahkan rasa kurang senang beliau terhadap kerenah birokrasi yang terpaksa dihadapi olehnya ketika menghadiri salah satu sesi terbabit.

Dalam ruangan bertajuk “Kisah Bersama MB: Karenah susahkan rakyat” beliau mendakwa cara dan sikap pegawai yang mengendalikan sesi itu tidak mencerminkan sebagai seorang penjawat awam yang seperti diharapkan.

“Saya tidak mahu mempertahankan pegawai saya namun berdasarkan pemerhatian sepanjang empat tahun ini saya percaya pegawai saya melayan rakyat secara berdedikasi, terbuka dan tidak meletakkan sempadan melayan pelbagai ragam manusia yang hadir,” jelasnya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh terbabit, beliau telah berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Macam-macam kes kita temui…ada yang hadir secara berkumpulan dan ada juga secara individu dengan pelbagai latar belakang. Ada yang datang bertemu secara kasar dan cuba membuat ugutan namun saya cuba tanganinya dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

Meskipun mendapat nasihat daripada pihak keselamatan agar mempertimbangkan semula sesi berjumpa rakyat atas faktor keselamatan, beliau katanya, akan tetap meneruskan program terbabit demi bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");