Membawang Hari Ini

Ihab pertahankan muzik etnik, tradisional

NAMA Dr Mohammad Ihab Ismail dalam industri muzik tanah air mungkin masih lagi asing dan belum mendapat perhatian umum.

Bagaimanapun, penglibatannya dalam bidang muzik bukanlah sekadar mahu mencuba nasib semata-mata, namun beliau memiliki perjuangan yang besar untuk memartabatkan seni muzik etnik dan tradisional.

Mula meminati muzik bercorak seperti itu sejak di bangku sekolah lagi, Ihab mengakui kagum terhadap penyanyi pop tradisional, Noraniza Idris, yang sedikit sebanyak memberi inspirasi buat dirinya untuk terus mengenali muzik itu dengan lebih dekat.

“Saya mula kagum dan kenal Noraniza menerusi lagu nyanyiannya iaitu Awallah Dondang. Suara dan bakat yang dimilikinya ternyata memiliki keistimewaan yang tersendiri.

“Sejak dari itulah saya mula mengikuti perkembangannya dan mula mengumpul koleksi kaset dan cakera padat albumnya sebagai rujukan untuk saya mendalami muzik tersebut,” katanya.

Kesetiaannya terhadap penyanyi kesayangannya itu nyata tiada tolok bandingnya apabila kesemua koleksi yang dimiliki itu turut dibawa bersama semasa Ihab melanjutkan pelajarannya di London.

“Ketika berada di London, saya masih aktif mengikuti perkembangannya dan mula mendekatkan diri dengan kelab peminatnya, Manira yang dikelolakan Ahmad Fedtri Yahya.

“Dengan kesempatan yang ada, saya mula berkongsi pelbagai koleksi istimewa yang saya miliki termasuklah beberapa demo lagu Rindu nyanyian Noraniza yang saya gubah menjadi lagu duet.

“Tidak sangka, demo itu berjaya menarik minat Noraniza dan dari situlah perkenalan kami bermula,” ujarnya.

Masih merangkak

Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, Ihab akhirnya dipilih oleh penyanyi kegemarannya untuk dijadikan sebagai artis naungan Noraniza Idris Production Ventures.

Menurutnya, pada peringkat awal, pelbagai pendedahan telah diberikan kepadanya untuk lebih mengenali industri muzik tempatan.

“Ketika itu saya diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai suara latar menerusi beberapa persembahan pentasnya.

“Akhirnya, Noraniza turut memberi ruang kepada saya untuk meluaskan bakat saya dalam bidang penciptaan dengan gabungan Fedtri selaku penulis lirik menerusi lagu Cinta Lebaran,” katanya.

Sejak mula mengikuti industri nyanyian, Ihab akui terlalu banyak perkara yang perlu dipelajarinya untuk menjadi seorang penyanyi irama tradisional yang baik.

“Walaupun telah mengenali dan mengikuti Noraniza sejak 2005, namun saya masih lagi berada dalam proses pembelajaran.

“Jika dilihat sekarang, muzik seperti ini seakan dilupakan dan dengan minat yang ada, saya mahu terus memperjuangkannya supaya tidak terus pupus,” katanya.

Single perkenalan

Selain diangkat sebagai Ikon Masyur 1Malaysia bagi projek Gagasan Anak Merdeka di bawah naungan syarikat milik Noraniza sendiri, Ihab turut menampilkan single pertamanya berjudul Selamat Datang.

Menurutnya, lagu duet bersama penyanyi kesayangannya itu adalah ciptaan penuh olehnya, sebagai pengenalan dirinya dalam industri muzik tempatan.

“Mungkin masih ramai yang masih belum mengenali saya dan single pertama itu mungkin dapat memberi ruang untuk saya lebih dikenali.

“Lagu ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri, di mana ia mengandungi elemen tradisional kompang Melayu dan difusionkan mengikut kesesuaian serta sangat sesuai untuk setiap acara sambutan di Malaysia,” katanya.

Difahamkan, single ini juga dimuatkan dalam album khas yang berkonsepkan fusion etnik yang berjudul Gagasan Anak Merdeka.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");