Perak Hari Ini

Isu Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng: Kerajaan Diminta Laksana Kajian Menyeluruh

Kerajaan negeri diminta agar membuat kajian secara menyeluruh dari aspek ekonomi dan sosial bagi memastikan kepentingan pengusaha dan ejen bas ekspres yang beroperasi di Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng, dekat Ipoh terbela.

Kajian itu dilihat perlu bagi mengelak industri pengangkutan di Perak dikuasai dan dimonopoli golongan tertentu sahaja.

Seorang pengguna yang enggan dikenali berkata, beliau yakin pengusaha bas ekspres di Medan Gopeng bukan menolak atau anti-pembangunan yang dirancang tetapi berpendapat dasar pembangunan yang ingin dilaksanakan hendaklah secara menyeluruh bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk.

“Kerajaan negeri perlu buat kajian menyeluruh dari aspek sosial dan ekonomi bagi memastikan pengusaha Bumiputera tidak teraniaya dan apakah peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan Terminal Bas Amanjaya iaitu Combined Services Sdn Bhd adil?

“Sebagai contoh, kaunter-kaunter Terminal Bas Amanjaya disewakan dengan kadar yang tinggi dan lokasi kaunter yang telah didominasi oleh golongan tertentu di kedudukan strategik membuktikan akan menyebabkan pihak pengusaha kecil terpaksa bersaing mendapatkan pelanggan yang mana mereka ini akhirnya terpaksa gulung tikar.

“Jika kerajaan negeri benar-benar ingin membantu, mengapa tidak mengambil alih pengurusannya daripada pihak Combined Services Sdn Bhd atau melantik pihak ketiga bagi menguruskan terminal dengan lebih adil,” katanya kepada Peraktoday.com.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu masalah pengusaha bas yang beroperasi di Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng dapat diselesaikan secara baik dan muafakat memandangkan ia sudah lama berlarutan.

Zambry berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk terus mengadakan perbincangan bersama pihak pengusaha supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Sementara itu, pengguna berkenaan turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menswastakan Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng kepada mana-mana pihak yang bercadang membangunkan kawasan berkenaan.

“Selain itu, adakah kedudukan Terminal Bas Amanjaya di Meru raya pada jangka panjang akan memberi impak positif dari sudut kos pengguna.

“Oleh itu, saya sangat berharap agar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempengerusikan sendiri mesyuarat antara kedua belah pihak supaya mendapat maklumat yang lebih jelas.

“Tidak guna memperolehi maklumat daripada mereka yang mempunyai kepentingan… berilah peluang kaum Bumiputera bertapak lebih jauh dalam industri pengangkutan ini dan sokongan daripada Menteri Besar dan tenaga pakar ekonomi kerajaan negeri sangat dihargai bagi merencanakan alternatif yang lebih berkesan,” jelasnya lagi.

Pada 30 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan majoriti pengusaha dan ejen bas ekspres bagi semua laluan enggan berpindah ke Terminal Amanjaya kerana tidak berpuas hati apabila ia diuruskan sebuah syarikat dan bukannya sepenuhnya milik Kerajaan Negeri.

Pengusaha kaunter Terminal Bas Medan Gopeng, Mohd Rashidi Abdul Rahim, 41, menyifatkan perpindahan pengusaha kaunter bas dari Medan Gopeng ke terminal baru di Meru Raya bakal menjejaskan operasi mereka.

Menurutnya, sehingga kini, pembahagian kaunter penjualan tiket oleh pengurusan terminal yang masih belum terjawab, selain banyak masalah dalaman yang timbul membuatkan mereka tidak mahu memindahkan operasi ke Meru Raya.

“Kita boleh nampak pincangnya apabila mereka menjanjikan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ada tujuh kaunter e-Ticketing yang memudahkan pengguna membeli tiket bas.

“Namun kami difahamkan ia diberikan kepada syarikat individu dan terminal belum pun beroperasi.

“Itu belum lagi masalah pembahagian kaunter jualan yang tidak adil, pengusaha kaunter atau ejen seperti kami ini diberikan kaunter yang terkebelakang malah mereka boleh meletakkan pelbagai syarat lain kemudian.

“Malah kami juga mendengar mereka beri masuk 200 teksi ke terminal namun caj RM1.50 dikenakan untuk sekali masuk dan setiap satu jam kemudiannya. Jika tiga jam kemudian baru mendapat pelanggan, RM4.50 itu rasanya siapa yang perlu menanggungnya jika bukan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rashidi berkata, pihaknya turut hairan mengapa pengusaha lain yang beroperasi di Jalan Bendahara, Medan Kidd dan lain-lain tempat tidak dipanggil ke terminal baru.

“Mengapa pengusaha bas ekspres di tempat lain tidak dipindahkan, apa istimewanya mereka sehingga boleh mendapat pengecualian.

“Dari segi pulangan, jika kami ke sana, kita akan bergantung pada pengguna ‘yang ingin’ ke sana dan bagi saya dalam keadaan ekonomi sekarang, mereka tidak mahu bazirkan duit bayar tambang ke Meru Raya. Lebih baik mereka menaiki ETS yang lebih dekat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");