Isu Panas

JMPP: Ahli Pas turut sertai demo bantah Guan Eng

Penganjuran bantahan yang dilakukan di Masjid Simpang Enam dan Kompleks Tunku Abdul Razak (Komtar) Jumaat lalu tidak ada kena mengena dengan Pas.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada penglibatan beberapa ahli Pas yang turut menaikkan bendera parti itu dalam perhimpunan berkenaan bagi menunjukkan bantahan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menimbulkan semula isu kalimah ALLAH.

Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Yang Dipertua Pas negeri, Datuk Salleh Man perlu sedar bahawa ada kalangan ahli di peringkat akar umbi yang tidak senang dengan kepimpinannya dan juga kerjasama antara parti Islam itu dengan DAP.

“Memang penganjuran bantahan itu tidak dilakukan oleh Pas dan semua media juga melaporkan ia dianjurkan oleh JMPP.

“Cuma perhimpunan berkenaan turut disertai ahli-ahli Pas yang tidak suka dengan Pakatan Rakyat, yang benci akan DAP dan kecewa dengan Pas yang langsung tidak mampu bersuara serta berbuat apa-apa dengan tindakan Guan Eng,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Georgetown, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Salleh Man yang menafikan penglibatan Pas dalam demonstrasi di Masjid Simpang Enam dan Komtar.

Demonstrasi itu dianjurkan bertujuan menggesa Guan Eng menarik semula dan meminta maaf ke atas kenyataannya yang menggesa Kerajaan Pusat membenarkan kitab Bible bahasa Melayu menggunakan perkataan ALLAH.

Sementara itu, Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas negeri berkata, walaupun beliau masih lagi ahli Pas namun kehadirannya pada bantahan itu adalah sebagai Penyelaras JMPP.

Mohamed Hafiz berkata, beliau kesal apabila Salleh Man cuba memburukkan namanya dengan mengatakan ramai yang mengenali ‘siapa’ Hafiz seperti yang disiarkan dalam Harakah Daily.

Katanya, Salleh Man jelas cuba menjatuhkan imejnya sebagai pemimpin NGO di negeri ini.

“Dalam laporan Harakah Daily, Salleh mengatakan ramai mengenali ‘siapa’ Hafiz dan saya juga ingin memberitahu kepadanya bahawa ramai juga yang mengenali siapa sebenarnya pemimpin Pas ini,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");