Program Basmi Kemiskinan

Masalah Parkir Di UTC Perak Perlu Diatasi

Sejak memulakan operasinya semalam, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh mendapat sammbutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui urusan seharian mereka menjadi lebih mudah dan cepat kerana UTC menjadi ‘one stop centre’ yang strategik kerana kedudukannya terletak di kawasan pusat bandar.

Namun, segelintir pengunjung meluahkan rasa bimbang berkaitan masalah kekurangan tempat letak kereta di UTC Perak yang dikhuatiri akan mengganggu dan menjejaskan urusan mereka.

Bagi Mohd Noor Mohd Amin, 46, masalah kekurangan tempat letak kenderaan akan berlaku pada masa akan datang memandangkan tempat letak kenderaan yang  sedia ada tidak mampu menampung kenderaan staf serta pengunjung yang datang ke UTC Perak.

“Bayangkan ada 52 agensi dan tempat letak kenderaan yang ada cuma 200 ke 300 petak….ia masih  tidak cukup untuk menampung kenderaan yang banyak pada satu-satu masa,” katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan pihak yang terbabit membina tempat letak kenderaan bertingkat untuk kemudahan para pengunjung bagi memastikan kesesakan dan kesulitan meletak kenderaan tidak berlaku di masa akan datang.

“Saya cadangkan naik taraf  dua atau tiga tingkat di kawasan yang masih ada ruang atau pindahkan mana-mana gerai yang dilihat tidak perlu,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus UTC Perak, Shahrulnizam Jaafar, berkata Datuk Bandar Ipoh telah membuat keputusan untuk membenarkan pengunjung UTC memarkir kenderaan secara percuma selama sebulan.

“Berkuatkuasa bermula hari ini, pengunjung memarkir kenderaan di kawasan tempat letak kenderaan UTC tidak perlu meletakkan kupon letak kenderaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selama sebulan,” katanya.

Beliau menambah, kekurangan tempat letak kenderaan tidak menjadi masalah kerana petak meletak kenderaan yang disediakan adalah banyak, selesa  serta mampu menampung kehadiran pengunjung.

“Ini adalah satu pusat sehenti di mana pengunjung tidak perlu letak kenderaan terlalu lama kerana apabila mereka selesai berurusan mereka akan keluar….jadi saya lihat tempat kenderaan yang disediakan memang banyak,” jelasnya.

UTC Perak telah dibangunkan oleh kerajaan Pusat bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat setempat.

Terdapat 52 pejabat daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta terlibat memberikan perkhidmatan di pusat tersebut antaranya Pos Malaysia, Telekom Malaysia (TM), Lembaga Tabung Haji, Kedai Buku 1Malaysia dan Klinik Gigi 1Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");