Konflik di wilayah selatan Filipina yang berlanjutan sehingga 40 tahun lalu menemui jalan penyelesaian melalui usaha konsisten kerajaan Malaysia sebagai orang tengah atau pengantara yang seterusnya membawa kepada termeterainya perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Oktober lalu.
Perjanjian Rangka Kerja pembangunan masyarakat Bangsamoro yang berjaya ditandatangani pada 15 Oktober tahun lalu berjaya ditandatangani hasil bantuan kerajaan Malaysia yang membantu lebih sedekad lalu, demikian kata Pengerusi MILF, Tuan Al Haj Murad Ebrahim.
“Usaha pertama bermula pada era pentadbiran Tun Mahathir Mohamad dan kemudiannya diteruskan hingga di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Malaysia adalah negara yang banyak membantu MILF dalam mencapai perjanjian rangka kerja Bangsamoro ini,” katanya ketika membentangkan kertas kerja dalam Seminar Nusantara: Islam Di Asia Tenggara (Cabaran dan Harapan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi.
Dalam kertas bertajuk “Islam di Kepulauan: Kebangkitan Baru Bangsamoro” itu, Al Haj Murad, berkata dengan temeterainya perjanjian Rangka Kerja, ia bakal menjayakan aspirasi utama masyarakat Islam negara tersebut.
Menurutnya, sejak tahun 1982 lagi, pelbagai bentuk program telah dilaksanakan oleh masyarakat Bangsamoro sebagai usaha memperkukuhkan kelompok Islam di selatan negara itu.
“Islamisasi merupakan program utama yang berjaya menyatukan umat Islam Bangsamoro,” katanya.
Bagi memastikan Islam Bangsamoro terus berada dalam satu ikatan kumpulan yang kukuh, beliau berkata progam Islamisasi akan menjadi pendekatan penting pada masa hadapan.
Bermula dengan individu, amalan dan cara hidup berlandaskan agama Islam akan dipastikan berkembang hingga melahirkan keluarga Islam yang ramai, seterusnya menjadi antara misi utama dakwah masyarakat Islam Bangsamoro.
“Dari fokus kepada individu kemudian beralih kepada pembentukan Islamisasi keluarga hingga kita mampu melahirkan ‘Islamic Oriented Family’.
Sekiranya perjanjian itu menjadi kenyataan, beliau berharap ia bakal membentuk kerajaan Bangsamoro yang baik dengan mengambil Malaysia sebagai model terbaik sebagai rujukan bagi mentadbir wilayah itu.