Berita Hari Ini

Muhyiddin gesa sektor awam main peranan untuk kejayaan penjenamaan negara

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa sektor awam memainkan peranan penting, setara dengan sektor swasta bagi memastikan kejayaan kempen penjenamaan negara.

Beliau berkata, sektor awam perlu berubah mengikut peredaran masa dan tuntutan semasa.

Bagi membolehkan sektor awam kita berusaha ke arah kecemerlangan dan melaksanakan pelannya secara efektif, ia perlu berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan.

“Penting untuk kita semua menyedari bahawa jenama negara merupakan paksi kepada kekuatan sedia ada kita, bukan sekadar satu hasrat.

“Ia perlu berakar umbi kepada realiti dan ada hubung kait dengan rakyat, merangkumi bukan sahaja produk, tetapi urus tadbir, sosial dan modal insan serta pertumbuhan mampan,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup “Razak Roundtable: Creating Brand Power for Countries and Companies”, di Kuala Lumpur, Rabu.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata dalam dunia hari ini, globalisasi bermaksud negara-negara perlu bersaing sesama sendiri untuk menarik perhatian, penghormatan dan kepercayaan pelanggan, pelabur, pelancong dan bakat berpotensi.

“Jenama negara yang positif dan utuh akhirnya akan memberikan kelebihan daya saing,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, berkata ukuran prestasi sesebuah negara mungkin memerlukan lebih daripada sekadar Pendapatan Dalam Negara Kasar, dan apa lebih penting, kualiti urus tadbir untuk warganegaranya.

Urus tadbir baik yang merangkumi kesemua dimensi ini amat kritikal bukan sahaja bagi pelaburan, eksport dan pelancongan, tetapi lebih penting lagi, dalam usaha mendapatkan bakat, katanya.

Selain itu, beliau berkata, jenama negara juga berkait rapat dengan keseluruhan spektrum faktor-faktor penting yang wujud, daripada nilai-nilai dan kualiti kehidupan sehingga ekonomi dan kebudayaan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");