“Jika saya ingin berdebat, saya hanya akan berdebat dengan orang yang ada kredibiliti,”.
Demikian respon Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang enggan menerima pelawaan debat daripada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Menurutnya, penolakan pelawaan debat Pakatan Rakyat (PR) itu bukan disebabkan rasa takut sebaliknya beliau telah mengenali karakter Nizar yang sering kali melakukan pembohongan dan putar belit.
“Dia boleh melakukan pembohongan semasa dalam sidang dewan… jadi perlukah saya melayan orang sebegitu.
“Sebab itu, saya tidak mahu melayan apatah lagi untuk berdebat dengan Nizar kerana semua orang tahu tentang kualiti Nizar dalam dewan dan luar dewan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas desakan Nizar untuk berdebat dengan Menteri Besar selepas program Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna Bangunan SUK, dekat Ipoh, hari ini.
Katanya, tiada sebab untuk beliau terlibat dengan ‘taktik politik’ pembangkang yang ingin menutup isu pemberian tanah kepada dua pemimpin DAP (Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming) daripada kerajaan Kelantan kerana pendedahan itu dilakukan oleh individu lain.
“Mereka tahu bukan saya orang yang memainkan isu itu…jadi dari segi kewajarannya itu sudah tidak kena.
“Jika saya individu yang mendedahkan perkara ini, maka mereka boleh cabar saya,” jelasnya.
Malah, Zambry memberitahu permainan yang dibawa oleh pembangkang itu adalah bertujuan meraih publisiti murahan daripada rakyat.
“Mereka (pembangkang) mahu bermain dengan sentimen rakyat konon-konon mereka berada di pihak yang benar dan seolah-olah Barisan Nasional (BN) takut untuk berdebat,” jelasnya lagi.
Hakikatnya, beliau berkata, pembangkang terdesak untuk melakukan sedemikian untuk menutup kesalahan mereka dan isu pemberian tanah itu dapat dialihkan daripada perhatian rakyat jelata.