Program Basmi Kemiskinan

Pembedahan Berjaya, Pesakit Kanser Tulang Pulih Sepenuhnya

Keletah adik Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad, bekas pesakit kanser tulang ternyata cukup menghiburkan apatah lagi dia kini sudah pulih 100 peratus daripada penyakit merbahaya itu yang dikesan ketika usianya baru mencecah tujuh tahun.

Segala mimpi ngeri yang menghantui keluarga bahagia dari Batu Gajah itu kini sudah berakhir apabila Wan Arif Ferdaus selamat menjalani pembedahan transplan tulang sum-sum dan kaki kirinya di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Julai tahun lalu.

Hasil bantuan rakyat Malaysia yang prihatin, keperluan segera adik Wan Arif Ferdaus untuk mengumpulkan RM80,000 bagi menjalani kedua-dua pembedahan itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua minggu sahaja.

Selain orang perseorangan, kerajaan negeri di bawah keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menghulurkan sumbangan RM30,000 kepada keluarga Wan Arif Ferdaus.

Hari ini, Wan Arif Ferdaus tampil dengan penuh ceria dan berkeyakinan untuk berkongsi berita gembira itu selepas terlantar lebih dua bulan di hospital selepas menjalani pembedahan.

Menggunakan tongkat untuk bergerak, anak sulung daripada tiga beradik ini yang ditemani orang tuanya, Wan Ahmad Affendy dan Zetty Ramli, tampil di Pusat Khidmat Aduan BN Perak untuk menyatakan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah membantu keluarga mereka.

Bercakap kepada pemberita, Wan Arif Ferdaus berkata, dia ingin menyambung semula persekolahannya di SK Toh Indera Wangsa Ahmad, dekat Batu Gajah selepas pulih sepenuhnya.

“Saya nak cepat sembuh supaya dapat pergi semula ke sekolah…saya nak jadi angkawasan negara,” katanya dengan ceria.

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah berkata, pihaknya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia di atas keprihatinan dan sokongan mereka terhadap adik Wan Arif Ferdaus.

“Dengan bantuan rakyat Malaysia, Wan Arif Ferdaus kini dapat menjalani kehidupan yang lebih baik bersama keluarganya.

“Tidak ketinggalan, sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM30,000 yang turut memungkinkan pembedahan ke atas kanak-kanak ini.

“Jika ada lagi kes sepert ini, kita harap pihak berkenaan tampil ke hadapan kerana rakyat Malaysia sangat prihatin dan pemurah dalam membantu mereka yang memerlukan,” kata Mohd Rawi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu Wan Arif Ferdaus, Zetty menegaskan, anaknya perlu mengikuti rawatan fisioterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi membantunya berjalan secara normal.

“Selepas menjalani pembedahan lebih empat jam di PPUM, Wan Arif terlantar di hospital selama dua bulan dan saya bersama suami bergilir-gilir menjaganya ketika di sana.

“Dia kini semakin cergas dan pulih 100 peratus daripada kanser tulang yang dihadapinya,” katanya.

Zetty berkata, beliau sekeluarga terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan kewangan tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, seorang wanita dari Pulau Pinang sanggup mendermakan wang pencennya sebanyak RM300 kepada Wan Arif Ferdaus agar pembedahan itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

“Hati kami tersentuh dengan sikap prihatin dan rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap penderitaan yang ditanggung oleh Wan Arif Ferdaus. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah membantu menceriakan semula kehidupan kami sekeluarga,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");