Program Basmi Kemiskinan

Simpang Bahaya, Penduduk Mohon Lampu Isyarat Elak Kemalangan

“Sebelum lebih banyak nyawa melayang, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dimohon agar memasang segera lampu isyarat dan lampu jalan di persimpangan keluar masuk berdekatan Kawasan Perindustrian Tasek yang telah meragut beberapa nyawa akibat kemalangan sebelum ini,” demikian luahan Mohd Roszaidi Sejali, 28, yang turut bimbang dengan keselamatannya ketika menggunakan laluan berkenaan.

Pengusaha bengkel itu berkata, setiap bulan, pasti akan berlaku sekurang-kurangnya dua atau tiga kemalangan di persimpangan itu yang kebanyakannya membabitkan penunggang motosikal.

“Selain tiada lampu isyarat, simpang ini juga tidak dilengkapi dengan lampu jalan hingga menyebabkan kawasan sekitarnya gelap gelita di waktu malam, sekaligus mendatangkan bahaya kepada pengguna yang keluar masuk persimpangan ini.

“Bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku, saya berharap kemudahan lampu isyarat dan lampu jalan dapat dipasang dengan kadar segera,” katanya kepada Peraktoday.com.

Pendapat sama dikongsi Faizal Hafzan, 29, yang menjelaskan pengguna terpaksa bertarung nyawa untuk keluar masuk persimpangan itu yang sentiasa sibuk terutamanya di waktu puncak iaitu sekitar jam 7 pagi dan 5 petang.

Selain itu, masalah banjir kilat turut berlaku di kawasan berkenaan, sekaligus mengancam keselamatan pengguna kerana laluan berkenaan dinaiki air hingga di paras pinggang.

“Setiap hari, penduduk dari Taman Bertuah dan Taman Klebang Utama terpaksa menyabung nyawa ketika menggunakan persimpangan itu kerana kenderaan dari arah Ipoh dipandu laju.

“Justeru, pemasangan lampu isyarat mungkin dapat mengelakkan kemalangan di kawasan ini pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, R Geevendran, 29, berkata pihak berkuasa tempatan perlu memandang serius masalah itu kerana kemalangan yang kerap berlaku di persimpangan itu mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

“Kerap berlaku kemalangan di sini yang kebanyakannya membabitkan penunggang motosikal dek kerana masing-masing mahu masuk dan keluar simpang dengan cepat,” katanya.

Penduduk katanya, berharap pihak bertanggungjawab dapat menyediakan kemudahan itu demi menjamin keselamatan pengguna laluan itu.

“Permohonan membina lampu isyarat ini bukanlah permintaan individu, tetapi seluruh penduduk demi menjamin keselamatan pengguna jalan,” katanya lagi.

Beliau berkata, demi keselamatan pengguna yang menggunakan laluan berkenaan, perkara itu perlu dipandang serius apatah lagi ia membabitkan banyak  kemalangan parah dan kehilangan nyawa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");