Perbuatan pembangkang mempolitikkan isu rasuah dan menyalahkan kerajaan adalah tidak betul, kata bekas Naib Pengerusi Transparency International-Malaysia Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Sebaliknya kata bekas naib pengerusi DAP itu, pembangkang seharusnya membantu kerajaan mencari penyelesaian bagi menangani rasuah.
“Rasuah tidak sepatutnya dijadikan permainan politik dan menuding jari kepada mana-mana pihak. Isu itu masalah negara dan saya fikir kita harus bekerjasama menyelesaikannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia, di Kuala Lumpur, Jumaat.
Terdahulu, beliau menerima watikah pelantikan sebagai anggota Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang berkenan menyampaikannya di Istana Negara di sini.
Tunku Abdul Aziz yang dilantik sebagai senator pada Julai 2009 juga menegaskan rasuah adalah perjuangan semua pihak dan satu ‘peperangan’ yang melibatkan seluruh rakyat Malaysia.
Katanya, setiap individu yang terlibat dalam kelakuan tidak bermoral adalah sebahagian daripada masalah rasuah.
“Saya tidak fikir perbuatan menyalahkan kerajaan secara berterusan dengan menyatakan kerajaan sebahagian daripada masalah rasuah, sebagai suatu yang betul,” katanya.
Beliau turut memuji perjuangan SPRM menentang rasuah dan menyifatkan agensi itu berada di landasan yang betul.
Tunku Abdul Azizi juga menyarankan agar satu kajian menyeluruh terhadap punca sebenar rasuah di negara ini dijalankan.
– Bernama