Laporan Eksklusif

PM Dijadual Rasmi Seminar Nusantara: Islam Di Asia Tenggara (Cabaran Dan Harapan)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Seminar Nusantara: Islam Di Asia Tenggara (Cabaran dan Harapan) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat Kuala Lumpur, petang esok.

Program ilmu anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dengan kerjasama Persatuan Generasi Bestari dan MyKMU.net bermula dari 18 hingga 20 Januari bertujuan membincangkan cabaran serta harapan umat Islam di negara nusantara.

Tujuh kertas kerja akan dibentangkan oleh para tokoh ilmuan dan pemimpin yang dijemput khas dari beberapa negara jiran antaranya Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia dan tidak ketinggalan tuan rumah, Malaysia.

Antara tokoh ilmuan dan pemimpin yang terlibat dalam pembentangkan tersebut ialah Timbalan Rektor, Universiti Islam Yala, Thailand Dr Ahmad Omar Chapakia yang dijadualkan membincangkan kertas kerja bertajuk “Islam di Indochina: Perjuangan Masyarakat Islam di Selatan Thailand” manakala Ahli Parlimen Negara Kemboja pula akan membentangkan kertas kerja “Islam di Indochina: Pembangunan Sosioekonomi Muslim Kemboja”.

Lebih 1,000 peserta dari Malaysia dan beberapa negara jiran menyertai seminar tiga hari tersebut.

Sebentar tadi, kertas kerja pertama bertajuk “Islam Di Asia Tenggara: Cabaran dan Harapan telah dibentangkan oleh Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Datuk Dr. Sidek Baba.

Intipati kertas kerja yang disampaikan Dr Sidek antara lain menyentuh cabaran keilmuan dan pendidikan serta cabaran globalisasi.

Katanya, corak ilmu yang diajar dan proses pendidikan yang terjadi amat penting bagi menentukan jenis manusia, sumber daya atau modal insan yang dihasilkan oleh sistem pendidikan.

Menurutnya lagi, tajdid atau transformasi ilmu dan pendidikan perlu terjadi supaya corak kurikulumnya sepadu, masalah dualisme dalam sistem dapat diatasi dan ianya bakal melahirkan insan holistik yang tidak saja baik dalam ilmu diniahnya tetapi baik juga dalam ilmu akademik, profesional, sains dan teknologi.

Justeru, orientasi keilmuan dan pendidikan di kalangan umat Islam dan institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai program wajar memberi fokus kepada pembangunan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem.

“Sekian lama umat Islam menjadi pengguna kepada tamadun lain dan belum mampu menyumbang kepada kebangkitan ilmu dan pendidikan berasaskan acuan kita sendiri.

“Tradisi pendidikan Islam umumnya masih berlegar dalam keperluan ilmu mengurus diri tetapi masih kerdil dalam mengurus sistem,” tambahnya lagi.

 

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");