Perak Hari Ini

Program Turun Padang Pastikan Janji Kepada Rakyat Terlaksana: DS Zambry

Bagi memastikan slogan Janji Ditepati bukan sekadar retorik semata-mata, pelaksanaan projek yang diluluskan kerajaan negeri dipantau perkembangannya secara berterusan melalui program turun padang di seluruh kawasan negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memantau perkembangan projek pembangunan yang diluluskan.

“Program turun padang yang diadakan di Parlimen Bukit Gantang hari ini contohnya bertujuan memantau perkembangan pelaksanaan projek dan pemohonan rakyat yang telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pemantauan secara berterusan amat penting bagi memastikan slogan ‘Janji Ditepati yang diperkenalkan kerajaan BN tidak sekadar retorik politik semata-mata.

“Sekiranya masih terdapat projek atau pemohonan yang masih tertangguh, saya minta wakil rakyat di kawasan berkenaan tampil mengemukakan laporan mengenai perkara itu.

“Kita tidak hanya menerima laporan-laporan di bilik mesyuarat sahaja tapi pada masa yang sama saya turun ke bawah untuk melihat kawasan di sekitar Bukit Gantang,” katanya.

Zambry berkata demikan kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Kampung Kurnia Jaya, dekat Taiping, salah satu lokasi ‘walkabout’ Menteri Besar di Parlimen Taiping.

Berdasarkan lawatan itu,  Zambry berkata hampir keseluruhan janjinya kepada rakyat di kawasan berkenaan telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

“Kawasan di mana kita janji untuk membina masjid, Sekolah Agama Rakyat (SAR), surau dan jalan raya telah kita penuhi,” jelasnya.

Zambry pada masa yang sama turut menafikan bahawa lawatan yang dilakukannya itu bertujuan untuk memancing undi rakyat memandangkan bahang pilihan raya yang semakin terasa.

“Saya telah melaksanakan pendekatan turun ke bawah ini bukan sahaja ketika pilihan raya tetapi saya telah berada di beberapa kampung sebelum ini untuk selesaikan masalah rakyat…. jadi ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Dalam lawatan terbabit, Menteri Besar telah menyerahkan geran tanah kepada penduduk setinggan Kampung Simpang Halt, melawat tapak pembinaan masjid di Taman Yayasan, melawat bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al- Falah Addiniah dan mengadakan perjumpan bersama penduduk (Rancangan Kemajuan Tanah) RKT di Kampung Kurnia Jaya Tambahan.

Selain itu, beliau turut memberi sumbangan bantuan makanan, beg sekolah dan basikal kepada keluarga kurang berkemampuan.

Mengenai perkembangan politik, Zambry memberitahu beliau percaya Parlimen Bukit Gantang yang menjadi kerusi tradisi bagi BN akan kembali dimenangi parti itu pada pilihan raya akan datang.

“Saya amat gembira kerana jentera pilihan raya Parlimen Bukit Gantang bergerak dalam keadaan cukup baik dan saya yakin kedudukan Bukit Gantang secara tradisinya akan kembali kepada BN,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");