Perak Hari Ini

PROTON Perkenal Skim Gaji Minimum Mulai Januari

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengumumkan PROTON, anak syarikat milik penuh DRB-HICOM muncul sebagai syarikat automatif utama negara yang menawarkan skim gaji minimum bagi pekerja yang berpendapatan bawah RM900 sebulan.

Skim baru itu akan diaplikasikan oleh DRB-HICOM mulai Januari ini seiring dengan garisan panduan skim gaji baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sambutan Hari Pekerja, 1 Mei tahun lalu.

Di bawah skim gaji minimum itu, pekerja swasta di Semenanjung Malaysia akan mendapat gaji RM900 sebulan dan RM800 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri melawat kilang PROTON di Proton City, dekat Tanjung Malim sambil diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Kamil Jamil.

Muhyiddin kemudiannya mengadakan pertemuan bersama kira-kira 2,000 warga kerja PROTON.

PROTON Tanjung Malim mula beroperasi pada Ogos 2004 dan ketika ini mengeluarkan tiga model Proton iaitu Persona, Gen2 dan Prev’e.

Kilang berkenaan dibina di kawasan seluas 512 hektar, lima kali ganda lebih luas berbanding tapak kilang di Shah Alam dan ketika ini, ia mampu mengeluarkan kira-kira 150,000 buah kereta setahun.

Sementara itu, Proton City merangkumi kawasan seluas 1,600 hektar yang membabitkan taman perumahan, kawasan komersial dan juga tapak perindustrian yang dianugerahkan tujuh buah tasik dengan pemandangan indah dan mendamaikan.

Seiring dengan komitmen PROTON dengan kerajaan Perak untuk beroperasi sepenuhnya di Proton City yang membabitkan pelbagai program pembangunan bernilai RM1 bilion, pihak pengurusan menjangka pertumbuhan pesat akan berlaku dalam masa tiga tahun akan datang.

Antara pembangunan yang akan dilaksanakan termasuklah kawasan perumahan seluas 37.6 hektar, pusat komersial seluas 25.2 hektar dan lot perindustrian dikhususkan di kawasan seluas 22.4 hektar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");