Perak Hari Ini

The Octagon Mercu Tanda Terbaru Di Ipoh

Bangunan The Octagon yang bakal dibangunkan di tapak lama Bazar Yau Tet Shin akan menjadi satu lagi mercu tanda di bandar raya Ipoh selepas Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak yang beroperasi Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata projek yang bakal dimajukan One Octagon Sdn Bhd itu juga membuktikan kepesatan ekonomi Ipoh khususnya dan Perak amnya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Bangunan Yau Tet Shin dahulunya merupakan sebuah bazar yang mempunyai nilai sejarah yang tersendiri dan hari ini Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (PCCCI) Perak telah mengambil inisiatif mewujudkan satu lagi mercu tanda di tapak lama ini dengan mendirikan bangunan The Octagon.

“Saya percaya bangunan baru yang bakal menggantikan bazar lama akan mampu menceria dan mempelbagaikan lagi aktiviti di kawasan pekan lama Ipoh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah projek The Octagon di Ipoh, sebentar tadi.

Projek membina bangunan setinggi 21 tingkat itu menelan kos RM65 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, PCCCI Perak juga tegas Zambry, telah memberi kerjasama baik kepada kerajaan negeri, sekaligus membolehkan projek berkenaan dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Saya juga berterima kasih kepada pemilik bangunan di bandar raya Ipoh yang bersetuju dengan cadangan pengindahan semula bangunan lama yang dirancang oleh kerajaan negeri.

“Selain itu, kita juga merancang untuk mewujudkan kawasan pembangunan terancang di Ipoh dan kawasan lain dengan matlamat menjadikan Perak sebuah negeri maju di bawah gagasan Perak Amanjaya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, dalam tempoh tiga tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negeri Perak begitu pesat sekali dan beliau menganggarkan ia telah mencecah sekitar 6.5 hingga 7 peratus.

“Jika dilihat dengan perkembangan yang berlaku di Perak tiga tahun kebelakangan ini, saya percaya kadar itu lebih tinggi daripada purata 5 peratus yang dianggarkan sebelum ini.

“Oleh itu, kita akan minta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengkaji dan melihat kadar pertumbuhan yang sebenarnya di Perak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri juga berhasrat mewartakan sebahagian kawasan pekan lama khususnya sekitar Jalan Mustapha Al Bakri, Jalan Theatre, Jalan Raja Ekram dan Jalan Jubilee sebagai daerah budaya sebagai tarikan pelancongan ke bandar raya Ipoh.

“MBI akan menjalankan kajian teliti mengenai kawasan yang sesuai dan kerajaan negeri pada dasarnya telah bersetuju untuk mengazetkan sebahagian pekan lama di Ipoh sebagai daerah kebudayaan,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");