Perak Hari Ini

Usah Perkecilkan Peranan, Pandangan Bekas Wakil Rakyat: DS Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak mahu mana-mana pihak memperlekehkan pandangan atau buah fikiran yang diberikan oleh bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat di negeri itu.

Meskipun tidak lagi bergelar wakil rakyat, beliau percaya golongan terbabit masih mempunyai lingkungan pengaruh yang kuat dan sentiasa membantu gerak kerja yang dilakukan demi menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN).

“Jangan kita katakan mereka tidak jadi wakil rakyat maka tiada lagi pengaruhnya.

“Apa yang penting mereka dapat bersama dan ingin terus bagi sumbangan kepada parti dan saya yakin dengan usaha mereka ini dapat membantu BN dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-11 MUBARAK yang berlangsung di Kediaman Menteri Besar, di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Yang DiPertua MUBARAK Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Yang DiPertua MUBARAK Malaysia Cawangan Perak, Datuk Saharuddin Abdul Jabar.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan oleh MUBARAK begitu berharga kerana ia merupakan proses kesinambungan parti apabila memberi laluan kepada wakil rakyat baru bagi meneruskan khidmat dan perjuangan parti.

“Tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh mereka kita (wakil rakyat baru) tidak dapat meneruskan proses kepimpinan dalam parti khususnya dalam konteks BN,” kata beliau.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata beliau tidak mahu mana-mana wakil rakyat baru tidak memperkecilkan pandangan orang yang lama yang kadangkalanya menjangkaui pemikiran yang dimiliki oleh generasi baru.

Pada masa yang sama, beliau juga mahu bekas wakil rakyat dan wakil rakyat yang baru berganding bahu dalam satu kumpulan bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN pada pilihan raya akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");