Ia menyerlahkan semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling faham memahami, saling bekerjasama dan hidup secara harmoni.
Perlembagaan Madinah mempertahankan kebebasan beragama untuk semua, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.
Ketika zaman Rasulullah SAW, baginda tidak pernah menyambut hari lahir, begitu juga para sahabat, kerana ia belum dijadikan sebagai budaya umat Islam ketika itu.
Bagaimanapun, sikap Rasulullah SAW, yang berpandangan jauh, tajam akal fikiran, semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran harus dicontohi setiap Muslim.
Oleh demikian, umat Islam hendaklah bangun membina kekuatan rohani, seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh Baginda ketika menyebar syiar Islam.
Ketokohan Nabi Muhammad (SAW) dalam memimpin sebuah negara dan jeneral perang merupakan contoh terbaik kepada umatnya sebagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain, menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.
Amal sunnah Rasul
Sempena sambutan Maulidur Rasul, bekas pengacara Malaysia Hari Ini, Wardina Safiyyah Fadlullah, 34, mengajak umat Islam untuk mengingati pengorbanan Rasulullah SAW setiap hari dan masa, bukan hanya pada hari kelahiran Baginda sahaja.
Di sebalik kelembutan figura ini, Wardina terkenal dengan ketegasan dan lantang bersuara membicarakan isu semasa, kini menjadi pilihan penerbit untuk muncul di kaca televisyen dalam program berunsurkan ilmiah dan keagamaan.
Berbicara mengenai Maulidur Rasul, Wardina melahirkan kerisauannya terhadap sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang hanya disambut sekali sahaja setiap tahun.
“Sepatutnya kita harus mengingati Rasulullah setiap hari dengan membaca al-Quran dan sirah nabi sebagai panduan hidup,” katanya kepada Zass, semalam.
Katanya, sambutan itu bukan sahaja dilakukan dengan perarakan atau majlis makan, namun masyarakat harus mendalami dan memahami pengorbanan Rasulullah mengembangkan syiar Islam.
Wardina menegaskan, setiap Muslim harus mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenai Islam, terutamanya mengenal ALLAH SWT dan Rasul.
“Cara untuk kita menunjukkan kasih dan cinta kepada Rasul dan ALLAH SWT melalui penghayatan sunnah setiap hari.
“Tetapi bagaimana kita nak lakukannya jika tidak kenal Rasulullah SAW dan ALLAH SWT?,” katanya.
Wardina berkata, usianya menginjak 33 tahun barulah dia faham mengenai kisah nabi, dan saat itulah dia merasakan dirinya sangat jahil.
Antara surah yang berbekas di jiwa Wardina adalah surah Kahfi, Ayat 100 yang bermaksud, ‘Dan Kami perlihatkan neraka jahanam, pada hari itu, kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata’.
Katanya, ayat tersebut mengingatkannya supaya yakin dengan hari pembalasan (kiamat) kerana akhlak dan adat umat Islam sekarang, tidak menunjukkan ciri-ciri sebagai seorang Muslim sejati.
Pilih rancangan agama
Beralih mengenai karier seninya, ibu kepada tiga cahaya mata, Amna Nafeesa Ikhwan, 10, Azra Sareera, 7, dan Imran Arrazi, 5, bijak mengatur jadual harian agar mempunyai masa bersama keluarga, selain tugas sebagai pengacara dan penulis buku.
Katanya, dia selesa mengacara program televisyen, al-Hidayah yang bersiaran setiap Jumaat, iaitu rancangan keagamaan khas untuk golongan hawa.
“Sesuai dengan jiwa saya. Saya sangat selesa dan serasi mengacarakan program sebegitu,” katanya.
Selain itu, Wardina juga menggalas tanggungjawab sebagai pelajar sepenuh masa dalam bidang psikologi, membuatkannya tidak menang tangan menguruskan rumah tangga.
Baginya, tugas sebagai pengacara tidak menghalang dia untuk bergiat menyertai pelbagai program kemasyarakatan bersama badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Wardina juga gemar menghabiskan masanya menyertai program-program ilmu dan agama secara tidak formal untuk memantapkan diri sebagai seorang Muslimah sejati.
Secara tidak langsung, Wardina tidak jemu untuk bertemu dengan mereka yang dahagakan ilmu dan kebenaran kerana merasakan golongan tersebut sebagai individu sangat baik dan memberikannya inspirasi.
Antara falsafah hidup Wardina ialah, ‘Untuk berjaya di dunia kita memerlukan ilmu, untuk berjaya di akhirat juga kita memerlukan ilmu, untuk berjaya dunia akhirat kita amat memerlukan ilmu’.
-SINAR HARIAN