Perak Hari Ini

10,000 Tetamu Meriahkan Sambutan Tahun Baru Cina Di Perak

Kehadiran lebih 10,000 tetamu yang meraikan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2013 memberi petunjuk dan keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat jelata sentiasa menyokong parti itu baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kehadiran pengunjung pada tahun ini semakin bertambah dan pelbagai kaum datang untuk menceriakan sambutan ini seawal jam 1.30 petang lagi.

“Majlis sepatutnya bermula jam 3 petang hingga 5 petang tetapi saya lihat ada di kalangan rakyat yang datang lebih awal untuk bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan saya berharap tahun 2013 iaitu simbol Tahun Ular akan membawa rezeki, kemakmuran, perpaduan serta pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di Perak.

“Dan sudah pastinya, tahun ini juga membawa tuah kepada negeri Perak khususnya pada PRU-13 dan negara amnya,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan, kehadiran ribuan rakyat jelata itu atas kerelaan mereka sendiri dan bukannya di bawa ke kediaman rasmi Menteri Besar.

“Kita harus ingat keamanan, kemakmuran dan perpaduan adalah tunggak kepada pembangunan negeri dan negara ini.

“Di Perak sendiri, rakyatnya mewakili pelbagai kaum dan melalui usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang bekerja kuat untuk membawa kemakmuran negara, sokongan rakyat terhadap BN semakin baik.

“Walaupun ada kelemahan dan kekuarangan, kita akan berusaha untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.

Apa yang penting katanya, kerjasama antara kaum diperlukan bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara terus berkekalan.

Terdahulu, Zambry bersama isterinya, Datin Seri Saripah Zulkipli tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan tetamu yang meraikan majlis itu yang turut diserikan lagi dengan kemunculan Duta Perak, Datuk Seri Michelle Yeoh.

Majlis yang bermula jam 3 petang itu diceriakan lagi dengan persembahan kebudayaan daripada Kumpulan Selendang Perak serta artis jemputan yang menyanyikan lagu bertemakan Tahun Baru Cina.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");