Perak Hari Ini

120,000 Belia Perak Sertai Program My Beautiful Malaysia IM4U

Kira-kira 120,000 peserta yang majoritinya golongan belia dari seluruh Perak menyertai Program My Beautiful Malaysia IM4U yang dilancarkan secara serentak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Medan, dekat Petaling Jaya, sebentar tadi.

Berlangsung di Padang Ipoh, pelancaran program peringkat negeri disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan turut disertai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Gazali Jalal.

Sebelum itu, Zambry turut menyempurnakan upacara melepaskan benih ikan ke Sungai Kinta, menanam pokok dan mengecat pintu gerbang masuk Padang Ipoh bersama sebahagian peserta program My Beautiful Malaysia IM4U.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program itu, Zambry menegaskan sambutan program yang dilancarkan serentak di seluruh negara kelihatan amat meriah sekali.

Katanya, di Perak sahaja, kira-kira 120,000 peserta dapat dikumpulkan bagi menjayakan program itu yang dilancarkan secara serentak di 10 daerah di negeri itu.

“Melalui semangat My Beautiful Malaysia ini, kita dapat mengumpulkan generasi muda yang merupakan aset penting kepada negara.

“Ia juga selaras dengan dasar Perak Amanjaya yang meletakkan pengupayaan generasi muda antara tujuh teras gagasan yang dipelopori oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Tambahnya, sejak 2009 lagi, kerajan negeri menyediakan bajet khas untuk mengupayakan generasi muda selain mewujudkan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) bagi memberi peluang kepada golongan belia mencari pekerjaan.

“Setakat ini, lebih 7,000 peluang pekerjaan berjaya ditawarkan melalui penubuhan pusat ini dan bagi mereka yang mempunyai bakat luar biasa, kerajaan negeri mewujudkan PORT bagi membantu golongan muda mengasah bakat dalam bidang seni termasuklah seni lukisan dan visual.

“Tidak ketinggalan, aktiviti sukan juga dilaksanakan dan kita tidak sekadar bercakap kosong sebaliknya kita turun ke bawah untuk mendekati generasi muda di Perak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Shafie dalam ucapannya berkata, program My Beautiful Malaysia IM4U itu adalah cetusan idea Perdana Menteri yang mahu mengumpulkan 1 juta belia dari seluruh negara secara serentak hari ini.

Katanya, program itu adalah landasan terbaik bagi mendidik golongan muda agar mereka bertanggungjawab memelihara keamanan dan kemakmuran yang dikecapi negara.

“Tanpa mengira agama dan kaum, program ini dapat memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan belia dan masa depan negara amat bergantung kepada generasi muda hari ini.

“Generasi muda perlu memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara bagi menjayakan wawasan menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");