Sukan Hari Ini

‘Buru gelaran juara Asia’

ABU SAMAH (dua dari kanan) dan Muzammil (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis penajaan Jersi LTdL oleh MAS di Bukit Jalil semalam.

PELUMBA berbasikal lebuh raya negara diharap dapat mengambil kesempatan untuk mencipta kejayaan selaku juara Asia pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula pada 21 Februari ini hingga 2 Mac depan.

“Sepanjang penganjuran LTdL, tiada pelumba Malaysia yang berjaya meraih kejayaan sebagai pelumba terbaik Asia.

“Untuk edisi kali ini, kita mempunyai seramai 17 pelumba mengambil bahagian dan diharap ada di antara mereka yang mampu muncul sebabai pelumba terbaik Asia,” kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab semalam.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan tajaan Jersi Putih Malaysia Airlines (MAS) untuk pelumba terbaik Asia di ibu pejabat LTdL di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.

“Walaupun mereka (pelumba) mewakili pelbagai pasukan, termasuk pasukan kebangsaan, mereka seharusnya ingat bahawa mereka berlumba untuk menaikkan nama Malaysia. Saya harap semua pelumba akan dapat bekerjasama,” katanya.

Untuk edisi ke-18 LTdL tahun ini, selain 12 pelumba tempatan yang masing-masingnya mewakili pasukan kebangsaan dan Terengganu Cycling Team (TSG), terdapat lima lagi pelumba yang mewakili pasukan profesional benua dan benua.

Mereka terdiri daripada Anuar Manan (Synergy-Baku Cycling Project), Adiq Husainie Othman (Champion System Pro Cycling Team), Ng Yong Li (RTS Racing Team) serta Loh Sea Keong dan Ahmad Haidar Anuawar daripada pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team.

Persaingan untuk pelumba terbaik Asia diperkenalkan pada edisi ketiga LTdL pada 1998 yang menyaksikan pelumba Indonesia, Tonton Susanto menjadi pelumba pertama memenanginya.

Untuk rekod, Tonton turut muncul sebagai pelumba terbaik Asia pada 2002 dan 2009, sekali gus menjadikannya pemegang rekod kategori tersebut dengan tiga kemenangan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Serantau MAS, Muzammil Mohamad berkata, kerjasama dengan penganjur LTdL dapat membantu syarikat penerbangan tersebut memperluas dan memperkukuhkan jenamanya.

Penajaan MAS kali ini merangkumi tiket penerbangan dan memberi tambahan lebihan berat bagasi daripada 10 kilogram (kg) kepada 15kg.

“Memandangkan setakat ini tiada pelumba negara yang berjaya meraih Jersi Putih selaku juara Asia, pihak MAS ingin mengumumkan bahawa sekiranya ada pelumba negara yang berjaya meraih Jersi Putih, mereka akan menerima penajaan tiket penerbangan pergi-balik ke Paris untuk menyaksikan perlumbaan Tour de France.

“Bagi pemenang peringkat pula kita akan memberikan imbuhan berupa tiket penerbangan pergi-balik untuk destinasi rantau Asia Tenggara,” kata Muzammil.

Katanya, selaku penaja Jersi Putih berkenaan dan mahu turut terlibat dalam pembangunan sukan di negara ini, imbuhan berkenaan adalah sebagai pemangkin kepada pelumba negara untuk mencipta kejayaan.

 

– KOSMO!
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");