Jenayah

Cucu selamatkan nenek

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

MELAKA – Tindakan pantas seorang cucu mendukung neneknya dan membawa lari sejauh kira-kira 50 meter berjaya menyelamatkan warga emas itu daripada rentung apabila rumah didiami mereka musnah terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang di Jalan Kemboja 19, Kampung Semabok Dalam, di sini, Asyraf Ibrahim, 20, mengangkat neneknya, Kuna Abu, 87, sebaik sahaja melihat api beberapa meter di sebelah nenek yang baru keluar bilik air.

Menurut Asyraf, sebelum kejadian, dia yang sedang menonton televisyen tiba-tiba di ruang tamu terhidu bau hangit lalu menjengah ke dapur dan melihat api sudah menjulang tinggi di sebelah wanita uzur berkenaan.

“Melihat api itu, saya terus mendukung nenek keluar rumah dan tinggalkannya di rumah jiran sebelum kembali semula ke rumah untuk mengambil kunci kereta Perodua Kancil dan Viva.

“Sebelum menyelamatkan satu persatu kereta milik saya dan ayah, rambut saya turut terbakar sedikit ketika hendak mengambil kunci kereta di dalam rumah yang sudah rentung separuh,” katanya semalam.

Aysraf berkata, dia turut menjerit memanggil jiran yang juga saudaranya memaklumkan kebakaran sewaktu mengangkat neneknya.

“Bagaimanapun tiada barang lain sempat saya selamatkan selain dua buah kereta sementara sebuah lagi motosikal Modenas Kriss diselamatkan saudara yang tinggal berhampiran.

“Saya syukur nenek selamat, cuma nenek mengalami luka kecil di tangan mungkin disebabkan saya kelam kabut mengangkatnya di dapur dan membawanya keluar rumah,” katanya yang bekerja di bahagian pengurusan di sebuah pasar raya di Bachang, dekat sini.

Menurutnya, semasa kejadian, ibu dan bapa serta dua beradiknya yang turut tinggal di rumah berkenaan sudah keluar menghantar datuk sebelah ibunya ke KLIA untuk menunaikan umrah di Makkah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Alias Ahmad berkata empat membabitkan 18 anggota termasuk empat pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Ayer Keroh dan Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Api yang sedang marak bagaimanapun dapat dikawal kira-kira 2.15 petang sebelum padam sepenuhnya 30 minit kemudian,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");