Perak Hari Ini

Kenyataan Nik Aziz Satu Penghinaan: DS Zambry

Kalau benar itu kenyataannya, ia satu bentuk penghinaan.

Begitulah ulasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terhadap kenyataan terbaru, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan usaha murni kerajaan Pusat membantu rakyat diibaratkan sebagai memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.

Tindakan sedemikian memberi gambaran bahawa Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan begitu gusar dengan kesungguhan kerajaan yang begitu komited membantu rakyat yang sama sekali gagal dilakukan oleh pembangkang walaupun sudah sekian lama memegang tampuk pemerintahan negeri, katanya.

“Saya melihat ini kenyataan-kenyataan yang terlalu terdesak hingga sanggup mengeluarkan apa jua bentuk kecaman kepada kerajaan.

“Saya yakin kecaman yang begini (yang dikeluarkan oleh Nik Aziz) akan menjauhkan rakyat daripada mereka (pembangkang) dan semakin memperjelaskan lagi warna dan wajah sebenar mereka,” kata Zambry kepada pemberita.

Terdahulu Menteri Besar menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1 Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe dan Timbalan Pengerusi Program Sumbangan Veteran Tidak Berpencen, Mejar Jeneral Datuk Rohisha Yahaya.

Zambry berkata, sebagai sebuah kerajaan dan masyarakat prihatin kepelbagaian bentuk bantuan diberikan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Kita lakukan ini kerana kita tahu masih ada segelintir masyarakat diluar yang berada dalam kemiskinan dan memerlukan bantuan.

“Adakah salah untuk kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan rakyat?, ” katanya lagi.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan Menteri Besar Kelantan itu menyatakan pemberian wang ringgit sangat mendapat sambutan kerana sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari.

Dalam kenyataan itu, beliau turut  memberitahu pemberian wang ringgit adalah salah di sisi Islam kerana ajaran Islam yang sebenar adalah memberikan ilmu kepada manusia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");