Perak Hari Ini

Laksana Penilaian Lebih Kerap Terhadap Angka Pendapatan Isi Rumah Untuk Tangani Isu Kemiskinan

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, penilaian terhadap angka pendapatan isi rumah dalam menentukan garis kemiskinan rakyat perlu dilaksanakan secara lebih kerap agar negara tidak terbuai lena dengan pencapaian palsu kerana kadar inflasi dan kos hidup meningkat pada tahap yang cepat.

“Kemiskinan adalah masalah besar lagi kompleks yang masih berlaku dan jangan terlalu cepat gembira mendabik kejayaan dengan pencapaian secara angka antara rakyat yang dikategorikan berada di atas dan di bawah garis kemiskinan.

“Angka pendapatan isi rumah yang menjadi rujukan dalam menentukan garis kemiskinan amat subjektif. Justeru, perlu dilakukan penilaian yang lebih kerap supaya negara tidak leka dengan wajah pencapaian palsu kerana kadar inflasi dan kos hidup meningkat pada tahap yang lebih cepat,” titahnya sempena Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kompleks Darul Ridzuan, dekat Ipoh, sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Baginda bertitah, menetapkan gaji minimum atau meningkatkan tangga gaji kelihatan seimbas pandang dapat menambahkan pendapatan kepada kumpulan sasar tertentu, sebaliknya ia tidak berhenti di situ sahaja.

Titahnya lagi, majikan yang terpaksa menanggung kos pengeluaran yang meningkat dari segi kos buruh akan mengimbangi kembali kos pengeluaran dengan meletakkan harga yang lebih tinggi kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan.

“Ini adalah prinsip ekonomi yang asas di mana tambahan gaji atau imbuhan yang disaingi dengan harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat lebih tinggi akhirnya akan menambahkan beban hidup warga terutama di kalangan mereka yang tidak berpendapatan secara bergaji.

“Akhirnya, berlaku keadaan yang usul balik ke asal di mana warga berada dalam situasi bagaikan cuba menangkap kabus yang tidak pernah dapat diperoleh dan kemiskinan pada hakikatnya masih belum dapat di atasi dalam erti kata sebenar dan bermakna,” titah Raja Nazrin lagi.

Menurut titah Baginda lagi, kemiskinan adalah antara faktor yang menyumbang kepada penyakit sosial selain penghayatan agama dan persekitaran kehidupan.

Justeru itu, usaha membasmi kemiskinan perlu ditangani melalui formula yang lebih mantap lagi lestari, titah Raja Nazrin lagi.

“Walaupun segala usaha dilakukan kerajaan dengan membina masjid dan surau di serata kampung, mengapa masih berlaku vakum penghayatan agama di kalangan sebahagian ummah dan mengapa pula vakum itu lebih berlaku di kalangan keluarga miskin.

“Apakah keberkesanan atau kegagalan dari segi program agama yang dianjurkan dan sejauhmanakah di kalangan ahli jawatankuasa masjid terutamanya di kalangan mereka yang bersaing dan melobi untuk dilantik memegang jawatan merenung masalah sosial ini secara mendalam dan serius.

“Selain itu, komponen sosial wajib dijadikan syarat dalam membangunkan projek perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah kerana tempat kediaman yang disediakan kepada mereka adalah kediaman manusia dan bukannya untuk burung merpati.

“Melaksanakan keadilan bermula dari perkara seasas ini. Ketidakadilan akan menjadi amat ketara apabila jurang menjadi terlalu jauh antara kemudahan yang terdapat bagi kawasan perumahan untuk kumpulan atasan berbanding kemudahan asas yang disediakan bagi kumpulan berpendapatan rendah.

“Slogan berjiwa rakyat hendaklah dinafaskan dengan perasaan lebih membela dan lebih memberikan perhatian kepada golongan miskin dan rakyat bawahan,” titah Baginda lagi.

Raja Nazrin bertitah, kesyukuran itu wajib dicerminkan secara menggunakan rahmat anugerahi Ilahi dalam bentuk pangkat, jawatan, kuasa atau harta untuk menolong mereka yang hari ini berada dalam keadaan daif dan uzur, susah dan miskin

“Memberi perhatian untuk membela nasib golongan miskin dan daif adalah sunnah yang kita sama-sama dapat lakukan mengikut tahap keupayaan masing-masing dengan melakukan sedikit pengorbanan dari anugerah yang sedang kita nikmati ini,” titahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");