Perak Hari Ini

Lebih Banyak Rumah Akan Dibina Di Pulau Pangkor

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Pulau Pangkor bagi membolehkan rakyat di kawasan itu memiliki rumah sendiri.

Beliau yang juga Adun Pangkor, berharap projek itu dilaksanakan segera dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Lebih banyak rumah mampu milik perlu dibina di Pulau Pangkor bagi membolehkan rakyat di sini memiliki rumah sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek PIBG/NGO Pulau Pangkor di Dewan SMK Pangkor, sebentar tadi.

Di majlis itu juga, Dr Zambry menyampaikan sumbangan kepada 10 PIBG dengan masing-masing menerima RM50,000 manakala satu-satunya sekolah menengah, SMK Pangkor menerima sumbangan RM100,000.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 57 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pangkor dengan nilai keseluruhan RM570,000.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya, berkata memandangkan pilihan raya semakin hampir, pembangkang suka mengambil kesempatan dengan melaga-lagakan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Beliau katanya, tidak terkecuali menjadi mangsa pembangkang yang cuba melaga-lagakannya dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamadi yang diwarkan-warkan bakal menjadi calon Menteri Besar Perak.

“Ketika ini, pembangkang juga menggunakan isu mogok pemandu teksi Pulau Pangkor untuk meraih sokongan politik dan difahamkan ada pihak yang telah melaungkan reformasi.

“Selain itu, pembangkang juga menyebar fitnah kroni saya memiliki harta ratusan juta ringgit,” katanya.

Sebelum ini, beliau katanya, telah mengarahkan pihak bertanggungjawab termasuklah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyelesaikan masalah teksi haram di Pulau Pangkor.

“Tetapi masalah ini tetap berterusan dan kemuncaknya pemandu teksi melancarkan mogok Sabtu lalu memandangkan masalah mereka masih berlarutan tanpa sebarang tindakan sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, beliau sendiri akan mengadakan pertemuan dengan ahli Pertubuhan Pemandu Teksi Malaysia (PERTEKMA) Cawangan Pangkor pada jam 3 petang ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");