Jenayah

Ops Medan: Patah kaki terjun dari tingkap

Seorang lelaki yang cuba melarikan diri bagi mengelakkan diberkas pihak berkuasa dalam serbuan.

PETALING JAYA – Tindakan berani mati tiga lelaki yang cuba melarikan diri ketika serbuan Ops Medan di Mentari Court, Jalan PJS10 kelmarin mengundang padah apabila ketiga-tiganya patah kaki selepas terjun dari tingkat satu bangunan berkenaan.

Dalam serbuan bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 9 malam hingga 1 pagi di tiga lokasi berasingan itu, ketiga-tiga lelaki tempatan itu dikatakan cuba melarikan diri untuk mengelak daripada ditahan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Operasi berkenaan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Mohd Hairy Ahmad bersama 20 anggota manakala enam anggota AADK termasuk seorang pegawai.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Maarop berkata, ketika serbuan berkenaan, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis berkenaan.

“Premis berkenaan menjalankan kegiatan judi haram di tingkat atas manakala di bawah adalah restoran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, AADK menjalankan ujian saringan air kencing terhadap lapan orang dan ketiga-tiga lelaki itu ditahan kerana didapati positif dadah.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemulihan Dadah (APD) 1983.

Katanya, MBPJ menyita 27 monitor, 21 komputer dan tujuh kotak syiling mengikut Undang-undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber 2007 MBPJ.

Mohd Fauzi berkata, dua lagi serbuan di jalankan di Taman Desa Ria, Jalan PJS5 dan seramai 12 orang disaring.

“Bagaimanapun, kesemuanya negatif dadah dan kami (MBPJ) merampas 12 komputer, 32 cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) serta 34 monitor,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");