Perak Hari Ini

PBT Diarah Kenalpasti Kawasan Belum Diwartakan Dalam Seliaan Majlis Perbandaran, Daerah

Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengenalpasti mana-mana kawasan di Perak yang belum diwartakan dalam seliaan Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, sekaligus memantau perkembangan pembangunan dan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan dari semasa ke semasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memberitahu kawasan yang tidak tersenarai dalam seliaan PBT akan berhadapan dengan masalah kekurangan kemudahan infrastruktur.

Kata Zambry lagi, pewartaan kawasan di bawah seliaan Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah itu perlu juga dimaklumkan secara berhemah kepada masyarakat bagi membolehkan mereka menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri itu.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya melawat satu kawasan di Taiping yang berada di sebelah jalan raya utama masuk ke simpang Taiping.

“Penduduk di situ minta saya melawat kampung berkenaan kerana kekurangan kemudahan dan infrastukturnya walhal kalau ikut logik, kawasan berkenaan terletak di tepi jalan raya utama dan tidak jauh dari lingkungan seliaan Majlis Perbandaran Taiping.

“Bila saya beri penjelasan mengenai perkara itu, mereka (penduduk) kata akan rujuk di peringkat komuniti untuk lihat cadangan ini (masukkan dalam kawasan seliaan MPT).

“Saya maklumkan kepada mereka bahawa ia cadangan yang baik kerana semua kemudahan yang ditawarkan PBT akan penduduk perolehi walaupun kena bayar cukai sedikit bagi membolehkan PBT melaksanakan kerja,” kata beliau lagi.

Terdahulu, Menteri Besar mengadakan lawatan mengejut di beberapa jabatan di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama barisan exco kerajaan negeri bagi memeriksa perkhidmatan yang ditawarkan PBT terbabit.

Menurut beliau lagi, kawasan perumahan yang masih belum tersenarai di bawah pengelolaan PBT pula berpunca daripada lokasinya yang berada di luar lingkungan parameter yang ditetapkan oleh pihak berkenaan.

“Dari segi kedudukannya, ia bergantung kepada keluasan dalam parameter dan di bawah parameter yang masuk secara automatik sementara kawasan yang tidak termasuk bawah parameter, pihak Majlis harus buat cadangan dari semasa ke semasa untuk meluaskan kawasan kawalan mereka.

“Sebagai contoh, kawasan perumahan awam di Batu 7, dekat Manjung mempunyai tapak yang luas iaitu hampir 600 ke 700 lot tetapi kawasan itu tidak berada dalam parameter Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Jadi kita maklumkan kepada mereka (rakyat) mengapa tidak dimasukkan sekali supaya penduduk dapat segala kemudahan yang ditawarkan oleh MPM,” jelasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");