Perak Hari Ini

Pemimpin Yang Disenangi, Rakyat Mahu DS Zambry Terus Jadi MB Perak

Tanggal 6 Februari lalu, genap sudah empat tahun tempoh pelantikan seorang anak nelayan dari Kampung Masjid, dekat Pulau Pangkor sebagai Menteri Besar Perak ke-11 yang terbukti berjaya mengubah landskap ekonomi, sosial dan politik negeri Perak.

Sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Menteri Besar, pelbagai usaha dan pendekatan baru diperkenalkan kerajaan negeri untuk memakmur dan mensejahterakan rakyat Perak tanpa mengira bangsa dan agama.

Dengan slogan Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bertambah pesat sejak tiga tahun kebelakangan ini, semuanya hasil kerja keras dan komitmen tinggi pemimpin nombor satu negeri itu untuk membela nasib rakyat Perak.

Maka, tidak hairanlah segenap lapisan masyarakat di Perak baik di bandar atau di luar bandar memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Dr Zambry.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, beliau tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Peraktoday.com, seorang warga emas dari Kampung Masjid, Yusof Ismail, 70, berkata banyak projek pembangunan berjaya dilaksanakan di Pulau Pangkor sejak Dr Zambry dilantik  sebagai Menteri Besar.

“Sejak beliau (Zambry) jadi Menteri Besar,  penduduk dapat menikmati kemudahan jalan baru manakala lampu jalan juga turut dipasang.

“Bagi anak-anak muda di sini, kemudahan infrastruktur seperti padang futsal dan sekolah dapat dibina hasil sokongan dan bantuan daripada Dr Zambry sendiri,” jelasnya.

Menurut Yusof yang mesra dengan panggilan Tok Wan, semua itu merupakan usaha yang dilakukan oleh ADUN Pangkor yang begitu prihatin dengan nasib dan kebajikan masyarakat Pulau Pangkor.

Tambahnya, meskipun memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri, sifat mesra dan senyuman yang tidak pernah lekang di raut wajah menjadikan Dr Zambry begitu disenangi ramai.

“Dia memang orang yang baik sejak kecil saya mengenalinya sehingga sekarang (kerana tinggal di kampung sama) beliau masih pulang ke kampung melihat perkembangan orang di sini,” tambahnya.

Bagi Mohd Zabidi Mohd Shafie, 51, dari Taman Sungai Kinta, kerjasama baik antara kerajaan Pusat dan negeri memberi banyak manfaat kepada rakyat Perak.

Katanya, banyak projek pembangunan dilaksanakan demi manfaat rakyat Perak antaranya di kawasan Meru Raya yang membuka peluang pekerjaaan kepada anak tempatan.

“Untuk menarik kehadiran pelabur, kerajaan negeri memerlukan seorang pemimpin yang berkaliber seperti Dr Zambry yang terbukti berjaya menarik pelabur asing dan tempatan untuk menanam modal di Perak.

“Kestabilan politik dan kecekapan mentadbir negeri memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di Perak dan saya yakin nilai pelaburan akan lebih meningkat jika BN terus menguasai negeri ini selepas pilihan raya umum nanti,” kata bekas pesara polis itu lagi.

Sementara itu, K Anggamal, 51, turut menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan BN yang diterajui oleh Menteri Besar Perak.

Jelasnya, dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Pusat, nasib rakyat berpendapatan sederhana dan rendah mendapat pembelaan sewajarnya.

“Agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang merupakan kesinambungan kepada BR1M 1.0 ternyata dapat meringankan beban ketua isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

“Di atas keprihatinan kerajaan BN ini, tiada sebab mengapa rakyat perlu memberi sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong,” tambah ibu kepada lima orang anak itu lagi.

Ibu tunggal, Mariam Hitam, dari Kampung Kopisan Baru, dekat Gopeng menyifatkan Menteri Besar Perak seorang pemimpin yang begitu mengambil berat terhadap kebajikan rakyatnya.

Beliau katanya, sentiasa turun padang untuk menyelami masalah rakyat termasuklah membantu golongan ibu tunggal yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

“Saya amat berharap Dr Zambry terus terpilih untuk menerajui Perak dan sokongan rakyat terhadap BN khususnya di Gopeng ini  begitu baik sekali.

“Di atas usaha gigih dan kerja kerasnya selama ini, saya yakin BN akan kekal memegang tampuk pemerintahan Perak, seterusnya membawa lebih banyak kemakmuran kepada negeri ini,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");