Laporan Eksklusif
Like

Penyelewengan Tabung Memali Bukti PAS Gagal Bela Nasib Balu Dan Anak Yatim: Zainon Ismail

February 8, 2013
638 Views
0 Comments
7 minutes read
Penyelewengan Tabung Memali Bukti PAS Gagal Bela Nasib Balu Dan Anak Yatim: Zainon Ismail

“Saya terpanggil mendedahkan penyelewengan Tabung Memali yang bernilai jutaan ringgit kerana ingin membela nasib dan hak balu dan anak yatim yang hidup dalam serba kesempitan sedangkan pihak yang menguruskan tabung ini hidup serba mewah di atas kesengsaraan mereka,”.

Demikian tegas Zainon Ismail atau dikenali juga sebagai CN Al-Afghani yang merupakan salah seorang daripada tiga individu yang bertanggungjawab mengurus Tabung Memali yang diwujudkan oleh PAS Pusat sejak 1986 sebelum ia ditutup secara rasmi pada 2002.

Lebih memeranjatkan Tabung Memali itu tidak pernah diaudit dari tahun ia diwujudkan, sekaligus menimbulkan persoalan ke manakah wang kutipan derma itu disalurkan?

Bagi merungkai persoalan itu, Zainon yang juga merupakan penulis buku Air Mata Di Bumi Memali, mendedahkan beliau telah membuat laporan polis terhadap penipuan ke atas 14 waris mangsa yang terkorban dalam peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985.

Kerajaan Malaysia katanya, telah membayar pampasan ganti rugi am dan khas sebanyak RM300,000 kepada 14 waris mangsa terkorban yang mana setiap mereka menerima RM20,000 seorang.

“Perhubungan PAS Kedah melalui wakilnya iaitu Kassim Mohd Isa atau juga dikenali sebagai Kassim Mina telah meminta kembali wang berjumlah RM1,500 daripada setiap waris dengan alasan wang itu digunakan sebagai bayaran kos guaman, saksi dan perbelanjaan lain di mahkamah.

“Sedangkan kos perbicaraan ditanggung sepenuhnya oleh PAS Pusat menerusi Tabung Mangsa Memali yang diwujudkan pada 1986. Oleh itu tidak timbul soal kos guaman dan lain-lain kos yang perlu ditanggung oleh balu mangsa manakala kos memanggil tiga saksi tidak melebihi RM2,000.

“Di sini, telah wujud penipuan yang dilakukan Perhubungan PAS Kedah membabitkan wang berjumlah RM21,000 yang sepatutnya diserahkan kepada balu mangsa Memali,” katanya dalam sidang akhbar, malam tadi.

Zainon berkata, beberapa balu telah berjumpa dengannya dan menyatakan rasa tidak puas hati di atas tindakan itu kerana wang pampasan yang diterima masih belum dapat menyelesaikan dan membiayai kos pendidikan dan kehidupan seharian mereka.

“Kehidupan balu dan anak yatim ini dalam serba kekurangan dan kebanyakan mereka ini sudah menjangkau usia warga emas yang berhadapan dengan masalah kesihatan. Balu mangsa peristiwa Memali terpaksa bekerja keras untuk mencari sesuap nasi dan ada di kalangan mereka meninggal dunia dalam keadaan yang mengaibkan kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri sedangkan wang yang dikumpulkan dalam Tabung Memali mencecah lebih RM1 juta,” katanya.

Penyelewengan kedua yang didedahkan bekas guru ini membabitkan wang hasil jualan mesin jahit yang membabitkan nilai RM30,000.

Katanya, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Jamilah Husin bersetuju untuk mewujudkan bengkel jahitan bagi memberi peluang kerja kepada balu dan anak-anak mereka.

Cadangan itu tegasnya, diterima PAS Pusat dan sebagai permulaan, RM40,000 disalurkan sebagai modal daripada Tabung Memali.

“Di peringkat awal ia diuruskan pemimpin PAS kawasan iaitu, Harun Osman tetapi kemudiannya diserahkan kepada saya dengan baki wang RM25,000.

“Apabila saya tinggalkan tanggungjawab itu, aset yang ada lebih daripada RM60,000 dan kemudiannya diambil alih oleh Hisham Bakar. Tetapi disebabkan tiada pengurusan yang baik, bengkel itu ditutup tanpa perbincangan dengan balu termasuklah isteri kepada Allahyarham Ibrahim Libya yang juga merupakan bendahari kepada bengkel berkenaan.

“Ada di kalangan balu ini minta mesin jahit itu diserahkan kepada mereka dan mereka juga sanggup membayarnya tetapi ia telah dijual kepada sebuah syarikat di Perlis dengan nilai RM30,000.

“Persoalannya, kita tidak tahu di mana wang RM30,000 hasil jualan mesin jahit itu,” katanya lagi.

Zainon menyeru pemimpin PAS agar berlaku adil kepada balu dan anak yatim dan tidak hanya menjadi syaitan-syaitan bisu, sebaliknya takut kepada Allah di atas penyelewengan yang telah berlaku selama ini.

“Dewan Ulama PAS harus serius dan takut kepada Allah dan jika mereka gelarkan ulama dalam UMNO sebagai syaitan bisu kerana tidak berani menegur kemungkaran UMNO, hatta hari ini mereka juga harus bersuara atau mereka juga tidak terlepas akan daripada gelaran syaitan-syaitan bisu,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin tertinggi PAS tidak mahu perkara ini ke mahkamah kerana bimbang rahsia lain pula yang akan terbongkar.

Ditanya samada pendedahannya itu bermotifkan politik, Zainon berkata PAS sepatutnya membela nasib anak yatim dan balu mangsa peristiwa Memali jika mereka benar-benar memperjuangkan kerajaan berkebajikan.

“Sebagai parti yang memperjuangkan kerajaan berkebajikan, PAS perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka benar-benar bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan balu dan anak yatim.

“Jika ia tidak diselesaikan dengan sewajarnya, bagaimana mahu selesaikan isu kebajikan rakyat yang berjuta-juta orang dan saya juga tidak yakin dengan kemampuan PAS untuk memerintah negara ini,” tambahnya.

Sebelum ini, dua Naib Presiden Pas mahu Zainon Ismail atau CN Al-Afghani membuat laporan polis jika benar berlaku penyelewengan terhadap Tabung Memali.

Salahudin Ayub berkata, beliau mengalu-alukan Zainon supaya berbuat demikian.

Katanya, selepas laporan dibuat, polis perlu melakukan siasatan bagi menentukan sama ada berlaku penyelewengan terhadap Tabung Memali atau sebaliknya.

Bagi menyahut cabaran kedua-dua pemimpin PAS itu, Zainon pada 6 Februari lalu telah membuat laporan polis dan menggesa pihak polis menyiasat semula laporan penyelewengan Tabung Memali yang dibuatnya pada Julai 2000.

Zainon yang juga bekas aktivis tegar dan ahli seumur hidup Pas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Saya harap pihak polis dapat membuka semula kes ini bagi membela nasib balu, anak yatim dan mangsa kepada peristiwa Memali.

“Laporan polis saya sebelum ini telah disiasat sambil lewa dan saya tidak pernah terima secara lisan atau bertulis daripada polis menyatakan laporan itu telah selesai,” katanya lagi.

 

Komen & Pendapat

Leave a Reply