Perak Hari Ini

Perkhidmatan Teksi Pulau Pangkor Bakal Ditransformasi: DS Zambry

Teksi berwajah baru dan penguatkuasaan secara bersepadu adalah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi menjayakan transformasi perkhidmatan teksi di Pulau Pangkor, salah satu pulau yang menjadi tarikan utama pelancong datang ke Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata memandangkan pulau itu menjadi tumpuan ramai pelancong, mutu perkhidmatan teksi perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Saya berasa gembira kerana dapat mengadakan perbincangan bersama persatuan pemandu teksi Pulau Pangkor dan agensi penguatkuasa bagi mendengar masalah yang dihadapi mereka selama ini.

“Hari ini, pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan saya menjadi perantara kepada kedua-dua pihak ini dan hasilnya beberapa langkah segera akan dilaksanakan bagi mengelak masalah teksi haram ini tidak berulang di masa depan.

“Sebenarnya mereka (pemandu teksi) tak nak buat perkara itu (mogok) sebaliknya mereka mahu masalah ulat dan teksi haram di Pulau Pangkor diberi perhatian sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (PERTEKMA) cawangan Pangkor di Pulau Pangkor, petang tadi.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga merangkap Adun Pangkor berkata, masalah teksi haram itu sudah berlarutan sekian lama dan walaupun arahan sudah dikeluarkan bagi menangani isu terbabit, kegiatan itu muncul semula selepas seketika.

“Masalah yang berlarutan ini menyebabkan periuk nasi pemandu teksi Pulau Pangkor terjejas,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, hasil perbincangan yang diadakan, agensi penguatkuasa seperti Majlis Perbandaran Manjung, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bagi menangani masalah itu.

Katanya, anggota penguatkuasa akan ditempatkan di bangunan Jabatan Laut yang dahulunya merupakan tempat jualan tiket dan melalui usaha itu, kegiatan pengusaha teksi haram yang berleluasa hingga sampai ke depan jeti untuk mencari penumpang dapat dibendung.

“Selain itu, pemandu teksi juga dinasihatkan memandu dengan berhemah bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain teksi berwajah baru dan penguatkuasaan secara bersepadu, tempat parking khas juga akan disediakan bagi memudahkan pemandu teksi meletakkan kenderaan mereka.

Dengan cara itu, tempat parking khas terbabit tidak akan digunakan oleh pihak lain dan dua atau tiga lot parking lagi akan dikhususkan untuk tetamu kenamaan yang berkunjung ke pulau pelancongan itu.

“Selain itu, kita turut bersetuju mewujudkan kawasan khas untuk mengambil dan menurunkan pelancong berdekatan pintu keluar masuk utama dan bumbung juga akan dipasang kelak,” tambah Zambry lagi.

Uniform pemandu juga katanya, turut akan melalui proses transformasi dan pihak kerajaan negeri menyerahkan kepada persatuan untuk memilih lakaran wajah baru teksi Pulau Pangkor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");