Perak Hari Ini

PM Lancar UTC Perak, Pusat Ketiga Selepas Kuala Lumpur dan Melaka

Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak bukan sahaja memberi signifikan kepada warga kota Ipoh malahan juga kepada rakyat Perak secara keseluruhannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, penubuhan UTC adalah contoh kerjasama erat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri hingga berjaya merealisasikan dasar kerajaan dalam memberi kemudahan efektif kepada rakyat.

“Negeri Perak telah mencatat perkembangan yang begitu menggalakkan dan ditambah lagi terdapat dua inisiatif kerajaan yang dapat dilaksanakan iaitu penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Simpang Pulai kewujudan UTC Perak di pekan lama Ipoh,” kata Najib lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 10,000 rakyat yang hadir pada Majlis Perasmian Bangunan UTC Perak yang kini beroperasi di bangunan lama Super Kinta, dekat Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Perdana Menteri juga berkata, UTC Perak difahamkan sebagai UTC yang terbesar setakat ini.

Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, penubuhan UTC yang berfungsi sebagai ‘one stop centre’ dengan pelbagai perkhidmatan merupakan terjemahan kepada komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat jelata.

“UTC ini merupakan yang ketiga di Perak, terbesar di Malaysia dan ia dibina hasil cetusan idea Perdana Menteri sendiri.

“Tentunya warga Ipoh dan Perak cukup nostalgia dengan bangunan Super Kinta yang dahulunya terbiar tetapi hasil kreativiti Perdana Menteri, UTC Perak diwujudkan dalam usaha melaksanakan agenda transformasi negara.

“Malah Menteri Kewangan Kedua juga bekerjasama dan bergabung tenaga dengan kerajaan negeri dalam memberi idea lokasi terbaik UTC sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri,” kata beliau sambil menyifatkan lokasi Super Kinta itu sebagai sesuatu yang cukup istimewa.

Zambry juga berkata lokasi UTC yang dikenali sebagai ‘pekan lama’ Ipoh itu sudah terbiar sekian lama.

“Dengan adanya UTC ia telah berikan satu sinar cahaya baru kepada pembangunan di kawasan Ipoh lama ini,” tambah beliau.

Pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan pekerjaan, kewangan dan pembangunan belia bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

UTC Perak yang mempunyai 57 jabatan, agensi kerajaan , pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menerima 50,000 pengunjung pada bulan lepas.

UTC sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta dan NGO.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");