Perak Hari Ini

TPM Bersarapan Bersama Masyarakat Sungai Siput

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa selama sejam bersarapan bersama pemimpin BN dan masyarakat Sungai Siput sempena lawatan kerja sehari ke Perak, hari ini.

Bertempat di pasar awam Sungai Siput, ketibaan beliau bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman pada jam 9.45 pagi disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkipli serta beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri yang lain.

Ketika bersarapan, Timbalan Perdana Menteri sempat merasa beberapa hidangan istimewa yang disediakan antaranya seperti roti canai, pisang rebus, kuih muih dan teh tarik.

Selepas bersarapan beliau sempat melawat peniaga disekitar pasar awam berkenaan sambil bertanya khabar sebelum menyerahkan kunci kepada penyewa gerai dalam Majlis Penyerahan Kunci Gerai Baru di lokasi yang sama.

Sementara itu, salah seorang individu yang bertanggungjawab menyediakan sarapan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Ibrahim, 50, berkata, pengalaman memasak hidangan sarapan hari ini digambarkan seperti perasaan ketika baru mendirikan rumah tangga.

“Sangat gembira dan perasaan saya dapat memasak untuk beliau sama seperti perasaan ketika baru berkahwin,” katanya.

Katanya, menu istimewa yang disediakan olehnya bersempena kehadiran Timbalan Perdana Menteri ialah ubi rebus yang dimakan bersama sambal ikan bilis atau gula dan kelapa.

Pemilik gerai Norazlin Abdullah, 29, memberitahu kedatangan Timbalan Perdana Menteri bersarapan digerainya akan menjadi satu pengalaman manis yang tidak akan dapat dilupakan.

Walaupun menerima berita kunjungan Timbalan Perdana Menteri lewat malam tadi, ia tidak mematahkan semangat Norazlin malah lebih bersemangat melakukan persiapan menyambut kedatangan pemimpin nombor dua negara.

“Saya diberitahu oleh Pejabat UMNO Sungai Siput malam tadi dan telah melakukan persiapan sehingga jam 1 pagi tadi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan Muhyiddn sebagai pemimpin mesra rakyat kerana sanggup turun ke bawah berjumpa masyarakat dan sering mengikuti perkembangan rakyat.

Dalam lawatan walkabout itu, Muhyiddin turut disambut oleh 40 kanak-kanak berusia dari empat hingga enam tahun dari Tadika Holy Infant yang turut tidak mahu ketinggalan berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas lawatan di pasar awam, Muhyiddin kemudiannya bergegas ke Dataran Pusat Kegiatan KEMAS bagi menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia pada jam 10.45 pagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");