Membawang Hari Ini

Tugas Baru Vanidah

Hampir dua dekad bergelar pelakon, aktres Vanidah Imran tidak pernah ada angan-angan mengembangkan sayap seni dengan mencuba bidang pengarahan. Ini kerana dia lebih selesa bergelar pelakon selama ini.Bagaimanapun, pelawaan rakannya, Ida Nerina untuk menyertai projek Ikal Mayang sempena Hari Wanita Sedunia menyebabkan wanita ini tidak mampu menolak.

Dalam berbelah bagi sama ada mahu menerima atau menolak pelawaan itu, Vanidah akhirnya mengalah.

“Ketika mereka menawarkan projek ini, saya keberatan untuk terima. In kerana pada waktu sama, saya perlu membuat persiapan untuk peperiksaan akademik yang kian hampir.

“Apabila diberitahu projek filem pendek itu hanya sekitar 10 hingga 11 minit, barulah saya berubah hati dan mula terpanggil untuk mencuba.

“Tambah menguatkan lagi keputusan itu ialah apabila saya melihat ramai rakan-rakan terbabit dalam projek ini seperti Datin Sofia Jane, Sharifah Amani dan Mislina Mustaffa,” kata Vanidah.

Kata-kata semangat yang disuntik rakan-rakannya turut memberi inspirasi kepada Vanidah untuk menulis skrip. Selama ini, kata Vanidah, dia tidak tahu dirinya mampu menulis.
Namun, hampir sebulan Vanidah menyiapkan skrip projek sulungnya itu berikutan masih baru dalam bidang penulisan.

Memilih isu berpantang sebagai subjek dalam filem pendek pertama arahannya, kata Vanidah, dia sengaja memilih isu itu kerana menganggap bukan saja lelaki, malah ramai wanita tidak menyedari mengenai risiko yang perlu dihadapi wanita berpantang.

“Apa yang ingin saya sampaikan adalah betapa sensitif dan rapuhnya wanita yang sedang dalam pantang. Berpantang sebenarnya satu tempoh yang bahaya, di mana emosi wanita boleh menjadi terlalu sensitif.

“Tetapi ramai yang seolah-olah tidak mempedulikannya. Apabila sesuatu berlaku, mereka akan tuduh wanita itu meroyan. Tetapi tidak ramai yang cuba memahami perasaan ibu yang berpantang,” katanya.

Vanidah berkata, kes buang anak dan penderaan termasuk mencampak anak dari tingkap semuanya ada hubung kait dengan emosi ibu yang sedang berpantang.

“Selalunya, perkara itu terjadi kerana mereka buntu dengan cemuhan masyarakat. Masyarakat lazimnya akan menyalahkan wanita, manakala lelaki sering terlepas dalam hal begini,” katanya yang memilih Dira sebagai tunjang utama Pantang.

Tak sempat makan kerana sibuk di lokasi

Menjalani penggambaran selama dua hari, Pantang bakal memasuki studio untuk proses pos produksi. Memikul tanggungjawab sebagai pengarah, baru disedari pelakon yang pernah bergelar Pelakon Filem Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20) ini bahawa ia suatu tugas yang sukar dan mencabar.

Selepas selesai projek bersama Ikal Mayang, kata Vanidah, setakat ini belum lagi terlintas di fikiran untuk serius dalam bidang pengarahan.

“Setakat ini, itulah keputusan saya. Tapi pada masa akan datang saya tidak tahu. Jika setakat menulis skrip mungkin boleh dipertimbangkan. Selama ini, saya hanya tahu berlakon tetapi tidak pernah tahu betapa sukarnya tugas seorang pengarah.

“Baru kini saya tahu kenapa ada kala pengarah tidak sempat makan gara-gara terlalu sibuk di lokasi. Apabila merasai sendiri pengalaman sebagai pengarah, barulah saya tahu kerja pengarahan bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Selepas duduk di kerusi pengarah, barulah Vanidah tahu semua perkara membabitkan pembikinan filem perlu diberi perhatian.

“Semua perkara kita perlu ambil tahu seperti prop, set dan emosi pelakon. Kenapa perlu gunakan prop ini dan sebagainya, pendek kata semuanya perlu diambil tahu. Itu baru di set, belum lagi ketika memasuki proses pos produksi, saya juga kena tahu babak mana yang tidak perlu.

“Pendek kata memang tugas pengarah sesuatu yang sangat mencabar buat saya,” katanya.

– BERITA HARIAN
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");