Perak Hari Ini

25,000 Peserta Jayakan 1 Million Women Purple Walk Di Ipoh

Seramai 25,000 peserta mengambil bahagian dalam One Million Women Purple Walk peringkat negeri Perak yang berlangsung di padang Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz yang juga lebih dikenali Padang Polo, bermula jam 9 pagi tadi.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sebelum itu, peserta acara jalan kaki berkumpul seawal jam 8 pagi bergerak secara beramai-ramai dari tiga lokasi permulaan berbeza iaitu di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Izzudin Shah (SIS) dan Sekolah Menengah Vokasional, Persiaran Brash.

Peserta yang terdiri daripada kalangan wanita pelbagai peringkat umur itu tiba di perkarangan Padang Polo pada jam 9 pagi, iaitu 60 minit selepas peserta bergerak dari lokasi pelepasan.

Kelihatan juga peserta lelaki turut sama menyertai acara jalan kaki tersebut sebagai tanda sokongan mereka kepada kaum hawa.

Selain Ipoh, program acara jalan kaki beramai-ramai itu turut diadakan secara serentak di seluruh negara.

Di Putrajaya, program 1 Million Women Purple Walk peringkat kebangsaan telah diadakan dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dijangka menerima kunjungan lebih 400,000 peserta.

Semasa Menteri Besar berucap, lintas langsung ucapan Perdana Menteri dipaparkan kepada pengunjung untuk sama-sama mendengar perutusan yang dibawa oleh pemimpin nombor satu negara.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, golongan wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan wajar diberikan peluang yang sama.

“Kita ingin memperkasakan wanita dan mahu wanita terus di arus perdanakan dalam program pembangunan dan transformasi negara.

“Perhimpunan sejuta Women Purple Walk ini kerana mahu mencetuskan gelombang di kalangan wanita agar mereka tampil kehadapan, wanita dapat dinaikkan semangat bahawa negara tidak akan mencapai kejayaan tanpa mengupayakan wanita,” katanya.

Jelasnya, ini merupakan komitmen kerajaan secara berterusan menjadi wanita sebagai agen transformasi negara.

“Saya percaya dasar transformasi negara tidak akan tercapai sekiranya 50 peratus penduduk dalam negara tidak diarus perdanakan dan tidak diupayakan melalui apa cara bukan sahaja di peringkat tertinggi malah di peringkat akar umbi,” kata Perdana Menteri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");