Perak Hari Ini

BN Hadapi Risiko Kalah Lebih Teruk Pada PRU-13 Jika Tidak Yakin Kemampuan Tadbir Negara

Barisan Nasional (BN) bakal berhadapan risiko kekalahan yang lebih teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 jika pemimpin parti itu sendiri tidak yakin dengan kemampuan kerajaan mentadbir negara walaupun menang pada pilihan raya umum 2008.

Mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi, berkata walaupun tidak mendapat majoriti kerusi dua pertiga pada PRU-12, BN masih menang dengan 140 kerusi.

“Pada pilihan raya 2008, BN hilang majoriti dua pertiga di mana hanya mendapat 140 kerusi sedangkan 148 kerusi diperlukan untuk mengekalkan majoriti dua pertiga itu.

“Walaupun menang, tingkah laku parti BN seperti orang kalah dan jika sikap ini berterusan, maka pilihan raya umum ke-13 nanti, keputusannya mungkin menjadi lebih teruk,” katanya sebagai panelis jemputan Majlis Wacana Intelek yang mengupas tajuk Menjelang PRU-13: Demokrasi, Kepimpinan Dan Keamanan’ anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, berbanding pemimpin pembangkang, mereka dengan yakin menegaskan dapat memimpin negara dengan efektif walaupun sekadar mendapat majoiriti mudah 120 kerusi.

“Banyak juga yang percaya pembangkang boleh perintah Malaysia dengan majoriti 120 kerusi sedangkan BN yang menang 140 kerusi ketika ini bertingkah laku seperti kerajaan yang tidak yakin padahal boleh buat macam-macam tetapi tidak yakin dengan diri sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P Sivamurugan, berkata nilai permuafakatan dan perpaduan perlu dipertahankan jika rakyat ingin terus melihat keamanan dan kemakmuran berkekalan di negara ini.

Di sebalik kelemahan pentadbiran yang wujud, penambahbaikan kepada dasar pelaksanaan harus dilaksanakan oleh pemimpin agar ia menepati kehendak kumpulan sasaran selain merapatkan jurang antara kaum.

“Ini memerlukan tanggungjawab yang membabitkan hubungan pemimpin dan masyarakat yang akhirnya membawa kepada kestabilan negara. Hubungan ini tidak boleh berdasarkan kepada emosional sebaliknya rasional dan praktikal yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara,” katanya lagi.

Katanya, empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara antaranya Perkara 152, yakni Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di negara ini harus dihayati dan dipatuhi oleh rakyat negara ini.

Sehubungan itu, masyarakat majmuk di negara ini katanya, perlu menerapkan tiga nilai utama untuk mengekalkan keharmonian negara iaitu sikap bertoleransi, saling hormat-menghormati dan faham memahami antara satu sama lain.

“Untuk merobohkan apa yang dibina adalah mudah tetapi harus diingat bukan mudah untuk membina semula yang kita ada,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");