Perak Hari Ini

Cadangan Anwar Bertanding Di Lumut Bukti Pembangkang Semakin Kehilangan Sokongan Rakyat

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata cadangan meletakkan Ketua Pembangkang bertanding kerusi Parlimen Lumut pada pilihan raya umum ke-13 jelas menunjukkan pihak pembangkang semakin terdesak akibat sudah kehilangan sokongan besar rakyat khususnya di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak mengakui agak teruja dengan cadangan Pemuda PAS Perak yang kelihatan seperti memujuk rayu agar Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Lumut.

“Apa yang disuarakan itu adalah hak mereka tetapi saya hairan dan agak teruja apabila Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri dicadangkan bertanding di Lumut .

“Kita melihat tindakan membawa Anwar bertanding di Perak sebagai suntikan semangat kepada pembangkang bagi mengatasi kelebihan BN yang terus mendapat tempat di hati rakyat,” katanya kepada pemberita di Pangkor, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Lumut, berkata pihak pembangkang di Perak mahu Ketua Pembangkang menjadi penyelamat kepada mereka dalam PRU-13 nanti.

Sambil menyifatkan dirinya sebagai manusia kecil berbanding kedudukan Anwar dalam dunia politik negara, Zambry berkata:

“Hanya kerana manusia kecil seperti saya, pembangkang terpaksa angkut Anwar untuk lawan BN….saya tak tahu apa dah jadi dengan pembangkang hingga sampai ke peringkat merayu-rayu kepada Ketua Pembangkang agar datang dan bertanding di negeri Perak”.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha, ketika mengulas isu sama berkata, rakyat boleh membuat penilaian sewajarnya terhadap khidmat wakil rakyat BN sejak tiga penggal yang lalu.

“Dalam mana-mana pilihan raya umum, sudah pasti ada calon pembangkang dan itu bukanlah perkara baru.

“Saya sendiri bertanding tiga penggal di sini dan saya percaya kawasan ini tidak kekurangan calon pembangkang untuk bertanding dengan calon BN,” katanya lagi.

Jelasnya, siapa pun yang terpilih kelak, ia tetap dianggap sebagai calon pembangkang dan BN Perak sama sekali tidak akan gentar menghadapi parti lawan pada PRU-13 nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");