Jenayah

Dua beradik dijel sehari

Radzuan (kiri) dan adiknya Abdul Hafiz diiringi seorang anggota polis ke lokap mahkamah selepas kedua-dua mereka dihukum penjara sehari serta denda RM1,200.

KUANTAN – Seorang pelayan restoran bersama adiknya yang mempunyai masalah penglihatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencederakan seorang pelanggan ketika cuba membantu majikan mereka membelasah lelaki itu gara-gara semangkuk tomyam yang tertumpah.

Radzuan Yusof, 33 dan adiknya, Abdul Hafiz Yusof , 24 dari Jalan Tun Ismail di sini  mengaku bersalah sebelum dijatuhkan hukuman penjara  sehari dan denda RM1,200 atau tiga minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari, Radzuan bekerja sebagai pelayan manakala adiknya seorang pencuci pinggan di restoran masakan Thai di Balok, Jalan Kuantan-Kemaman dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, 28 Oktober tahun lalu, mangsa yang juga pengadu dalam kes itu singgah makan di restoran tersebut bersama anak dan isterinya.

Pengadu berusia 28 tahun membuat pesanan semangkuk tomyam dan sewaktu pesanan itu dihantar, makanan tersebut tumpah dan terkena pelanggan lain.

Pelayan terlibat terus beredar dan pengadu minta pemilik restoran menggantikan tomyam baru kerana makanan yang dihantar itu tinggal separuh setelah tertumpah.

Pemilik kedai naik angin dengan permintaan pengadu lalu menarik mangkuk tomyam hingga tumpah dan terkena anak mangsa.

Mangsa cuba menarik anaknya sehingga terlanggar meja lalu terbalik dan ketika itu, pemilik restoran terus menyerangnya dengan memukul menggunakan kerusi, meja serta cawan.

Dua beradik (tertuduh) itu yang berada di bahagian belakang keluar lalu membantu majikan mereka menyerang pelanggan itu menggunakan tangan dan kaki.

Dalam kejadian itu, mangsa mengalami gegaran otak, luka di kepala sehingga terpaksa menerima lima jahitan, lebam di belakang serta cedera di kedua-dua belah tangan.

Mangsa meminta bantuan orang ramai dan membuat laporan di Balai Polis Beserah berhubung kejadian.

Susulan kejadian, pemilik restoran dan dua beradik itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum mereka  didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan mangsa,  semalam.

Sebelum itu, Radzuan dan Abdul Hafiz merayu supaya hanya dikenakan denda bagaimana pun Majistret Jesicca Diamis memaklumkan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM2,000 memandangkan  kesalahan yang dilakukan serius dan  melibatkan kecederaan kepada mangsa.

Radzuan sekali lagi membuat rayuan tambahan bagi pihak adiknya supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman paling ringan memandangkan

Abdul Hafiz mengalami masalah saraf sehingga menyebabkan gangguan pada penglihatan.

“Kami hanya berpendapatan RM400 hingga RM500 sebulan dan tidak mampu untuk menjelaskan denda yang tinggi,” katanya.

“Mempertimbangkan kes ini kesalahan pertama kamu, rayuan dan hujah pihak pendakwaan, saya mengarahkan kamu di penjara selama sehari dan denda RM1,200.

“Selain itu saya harap kamu insaf dan tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang,” tegur Jessica.

Farahah dalam hujahnya berkata, dua beradik itu wajar dihukum dengan hukuman berat sebagai pengajaran kerana perbuatan yang dilakukan menyebabkan kecederaan serius pada mangsa yang juga pelanggan restoran.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");